SEORANG anggota bomba dan penyelamat cedera, ketika membantu mangsa kemalangan apabila jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang dinaiki, dirempuh kenderaan lain dalam kejadian di Kilometer 244.1 Lebuhraya Pantai Timur, Hala Barat Kuantan, awal pagi tadi.
Penolong Pengarah JBPM Pahang, Ismail Abdul Ghani, berkata kejadian itu menyebabkan empat mangsa termasuk anggota bomba terbabit cedera, manakala seorang lagi mangsa cedera parah.
Beliau berkata, sebelum itu pihaknya menerima maklumat daripada Pusat Koordinasi Kecemasan Perubatan (MECC) meminta bantuan EMRS bomba dihantar bagi memberikan rawatan awal dan menghantar mangsa kemalangan ke hospital.
“Kemalangan awal membabitkan sebuah kenderaan empat roda jenis Hilux dengan sebuah kereta Proton Saga dan hanya seorang mangsa yang cedera ringan dalam kejadian itu.
“Ketika pasukan EMRS bomba sedang membantu mangsa kemalangan terbabit, sebuah kereta Perodua Viva dan sebuah lori satu tan nyaris melanggar kereta Proton Saga yang berada di tengah lebuh raya, namun sempat mengelak.
“Namun datang sebuah lagi kereta jenis Kia Sorento melanggar kereta Proton Saga terbabit menyebabkannya berpusing sebelum merempuh pula lori serta jentera EMRS yan berada di tepi lebuh raya.
“Rempuhan itu menyebabkan anggota bomba dan mangsa yang menerima rawatan awal tercampak ke hadapan ketika berada dalam EMRS,” katanya dalam satu kenyataan, di Kuantan, hari ini.
Ismail berkata, akibat perlanggaran tersebut, pemandu kereta kia, pemandu hilux, pemandu lori dan seorang anggota bomba mengalami kecederaan.
“Pasukan bomba telah memberikan rawatan awal kepada semua mangsa yang cedera dan mereka dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk rawatan lanjut menggunakan ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Jentera EMRS bomba ditunda pihak LPT sebelum diambil trak penunda Bahagian Kejuruteraan Bomba Pahang di Plaza Tol Kuantan, manakala pasukan EMRS Gebeng pula diambil pasukan EMRS Kuantan di lokasi sama,” katanya, lapor BH Online.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.