Dua beradik rentung dalam kebakaran

DUA beradik rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Jalan Dewan Simpang Tiga Kampung Tanguit Gombak, Shah Alam, awal pagi ini.

Mangsa, Nur Syaza Alfisya Muhammad Faizan, 10, dan adiknya, Muhammad Al Qayyum Muhammad Faizan, 7, ditemui rentung dalam kejadian itu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.53 pagi.

“Seramai 22 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang dan Rawang termasuk Pasukan Bomba Sukarelawan (PBS) dikejarkan ke lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Norazam berkata, semasa kejadian, ibu bapa mangsa tiada di rumah dan mangsa dipercayai cuba keluar berdasarkan keadaan mayat, namun pintu jeriji dalam keadaan terkunci.

“Kedua-dua beradik itu ditemui rentung pada pukul 4.43 pagi tadi selepas kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pukul 4.13 pagi,” ujarnya

Jelasnya, kebakaran itu melibatkan sebuah rumah teres kelas A berkeluasan 6×24 meter persegi dengan 70 peratus terbakar.

“Punca sebenar kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan lanjut,” katanya, lapor Sinar Harian.