Polis siasat dakwaan individu guna barang mangsa tanah runtuh

0
222

POLIS menyiasat dakwaan bahawa terdapat individu tidak bertanggungjawab yang menggunakan kad Touch N Go milik mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali.

Dakwaan tersebut tular menerusi satu hantaran dipercayai dimuat naik oleh ahli keluarga mangsa tragedi tersebut.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata, dua laporan polis diterima berkaitan perkara tersebut.

“Laporan polis diterima pada pukul 2.47 petang berkaitan penggunaan kad Touch N Go milik mangsa tragedi tanah runtuh itu dan kertas siasatan dibuka bagi menyiasat kes tersebut.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau meminta orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian.

“Jangan menularkan sebarang perkara yang belum dipastikan kesahihan dan merujuk kepada polis atau pihak berkuasa bagi mendapatkan maklumat tepat.

“Ahli keluarga mangsa juga dinasihatkan agar menghubungi polis sekiranya mempunyai isu berkaitan kehilangan barang milik mangsa,” katanya, lapor Sinar Harian.

Pada 16 Disember lalu, seramai 92 mangsa terlibat dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Jalan Genting- Batang Kali di Hulu Selangor.

Seramai 61 daripada mereka terselamat, manakala 31 terkorban, membabitkan 18 individu dewasa dan 13 kanak-kanak.

Operasi SAR melibatkan seramai 80 anggota meliputi 27 daripada JBPM, 25 Angkatan Tentera Malaysia (ATM), lapan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan tiga Pasukan Mencari Dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).

Selain itu 10 anjing pengesan dan sembilan jengkaut turut digerakkan dalam operasi SAR ini untuk mengesan mangsa terakhir tragedi tanah runtuh itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here