Abang tumbuk, tampar adik hanya kerana tersalah siaran TV

HANYA kerana tersalah menukar siaran televisyen, seorang abang tergamak memukul adik lelakinya hingga cedera dalam kejadian di sebuah rumah di Pangsapuri Intan, Taman Bukit Permai di sini, semalam.

Tidak cukup dengan itu, lelaki terbabit turut menampar muka sebelum mengeluarkan kata-kata berbaur ugutan jenayah terhadap adiknya.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 4 petang ketika dua beradik itu sedang menonton televisyen bersama.

“Suspek menyuruh adiknya menukar siaran televisyen tetapi dia tersalah menekan siaran dan perkara itu menyebabkan abangnya berang.

“Suspek kemudian menumbuk dada, rusuk kanan dan mulut mangsa sehingga cedera. Suspek turut menampar muka mangsa selain membuat ugutan jenayah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Berikutan itu, mangsa yang berusia 23 tahun dan bekerja sebagai penjual burger dimasukkan ke hospital untuk rawatan sebelum satu laporan berkaitan kejadian itu dibuat kepada pihak polis.

“Suspek, seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun ditahan sepasukan anggota polis di kediamannya, di Pangsapuri Intan, kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi untuk siasatan.

“Semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau termasuk satu kes curi kenderaan pada 2014 dan siasatan mendapati suspek kerap bergaduh dengan adiknya kerana sikapnya yang panas baran,” katanya lapor BH Online.

Tambah Mohamad Farouk, suspek kini direman empat hari hingga 30 Disember ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (mendatangkan ketakutan) dan Seksyen 323 kanun sama (sengaja mendatangkan kecederaan).