‘Mangsa dipukul, dicucuh objek panas seluruh badan’

0
194

POLIS mengesahkan berlaku penderaan ke atas seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang meninggal dunia ketika menerima di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini pada Isnin.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, hasil pemeriksaan mendapati kanak-kanak berkenaan mengalami kecederaan di seluruh badan dipercayai akibat dipukul termasuk dicucuh dengan objek panas.

Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan serius di seluruh badan dari kepala hingga kaki selain terdapat kesan kecederaan lama dan baru.

Kamarul Zaman berkata demikian bagi mengulas insiden seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang meninggal dunia dipercayai akibat didera oleh lima rakan kakaknya di sebuah rumah di Senggarang, Batu Pahat pada Jumaat.

Pada awalnya kes ini disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, namun polis mengklasifikasikan semula kes akibat kematian mangsa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya lapor Sinar Harian.

Kamarul Zaman berkata, hasil siasatan awal, mangsa yang merupakan anak bongsu daripada 11 beradik ini dijaga oleh kakak kandungnya yang berusia 19 tahun dan sudah berkahwin dengan lelaki berusia 37 tahun selepas ibu bapa mereka dimasukkan ke dalam penjara akibat kesalahan dadah.

Katanya, polis turut merampas barang yang disyaki digunakan untuk mendera mangsa antaranya antaranya batang besi 29 inci, penyangkut baju, jaring penutup kipas serta cadar dan sarung bantal.

Portal berita pada pagi Selasa melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun meninggal dunia dipercayai selepas didera lima rakan kakaknya di sebuah rumah di Senggarang, Batu Pahat pada Jumaat.

Kanak-kanak malang yang dirawat di HSI sejak Jumaat lalu bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada jam 6.40 petang pada Isnin dan polis masih menunggu hasil bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian kanak-kanak malang itu.

Menurut Kamarul Zaman, Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat menahan lima individu berusia 15 hingga 37 tahun di sekitar Senggarang antara jam 12 tengah hari sehingga 9.45 malam pada Sabtu lalu.

Katanya, kelima-lima individu berkenaan ditahan reman selama tujuh hari bermula 25 hingga 31 Disember ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Kesemua yang ditahan melibatkan dua lelaki dan tiga wanita iaitu kakak kandung kanak-kanak berkenaan bersama suami serta tiga rakan wanita untuk siasatan lanjut,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here