BEKAS Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata bekas Perdana Menteri itu tidak pernah menggunakan kereta rasmi milik kerajaan sepanjang memegang jawatan.
Datuk Dr. Marzuki Mohamad berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terkhilaf dalam kenyataannya bahawa Muhyiddin telah membuat tempahan kereta Mercedes S600 versi limo.
“Beliau (Muhyiddin) menggunakan kereta peribadinya yang sama sejak berada di dalam pembangkang, semasa menjadi menteri dalam negeri, semasa menjadi perdana menteri dan sehingga sekarang.
“Sebagai Perdana Menteri pada masa itu, beliau diberikan dua pilihan kereta rasmi iaitu MPV Lexus dan Mercedes S600.
“Harga kedua-duanya terlalu mahal dan minit terakhir beliau kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) ialah supaya harganya dikaji dan dirunding semula,” tambahnya yang berkata kelulusan akhir adalah daripada Kementerian Kewangan, memetik laporan FMT.
Marzuki berkata permintaan Muhyiddin, dalam nota bertulis, telah disampaikan kepada pegawai dan perkara itu berakhir di situ.
“Sehingga beliau meletak jawatan pada 16 Ogos 2021, kereta Mercedes itu tidak pernah ditempah atau dibeli oleh kerajaan.
Bulan lalu, Anwar memaklumkan telah membatalkan pembelian Mercedes S600 yang dibeli dan diperoleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk kegunaan rasmi.
Menurutnya, tempahan itu dibuat oleh Perdana Menteri terdahulu tetapi tidak menyebut siapa yang dimaksudkannya.
Katanya, pembatalan itu dibuat selepas semakan terperinci sama ada tempahan itu boleh dibatalkan atau sebaliknya dilakukan.
Anwar sebelum ini berkata tiada pembelian kereta rasmi baharu untuk kegunaannya dan sebarang ubah suai pejabatnya bagi mengelak pembaziran di bawah pentadbirannya.
Dilaporkan bahawa model kereta berkenaan telah dicadangkan sewaktu pentadbiran Muhyiddin dan diluluskan ketika kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob.
Model S600 dikategorikan sebagai salon paling mewah Mercedes-Maybach. Harganya bermula kira-kira RM1.35 juta.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.