JABATAN Bomba dan Penyelamat Selangor hari ini menemui empat petunjuk baharu yang berkemungkinan ada mayat tertimbus di lokasi tanah runtuh di kawasan tapak perkhemahan di laluan Batang Kali-Genting Highlands.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, penggunaan radar penembusan tanah (GPR) itu, sangat membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) dalam mengecilkan skop lokasi pencarian di semua sektor.
Beliau berkata, ini adalah kali pertama alat mudah alih terbabit digunakan dalam operasi SAR bencana sedemikian di Malaysia, dan boleh menembusi tanah hingga sedalam lima meter (m) untuk tujuan pengesanan.
Mohd. Khairi memaklumkan, alat berkenaan ditaja oleh syarikat Geoventure Solution melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada NADMA.
“GPR berjaya mengesan objek disyaki tubuh manusia di bawah tanah, dan setakat ini membantu kenal pasti 14 titik.
“Bagaimanapun, apabila penggalian dibuat pasukan tidak menemui sebarang badan mangsa. GPR tersebut mungkin telah kesan objek-objek lain di point tersebut. Namun, penggunaan GPR sangat membantu operasi SAR, dengan mengecilkan kawasan pencarian dalam sektor ditetapkan,” katanya, lapor Utusan TV.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superitenden Suffian Abdullah berkata, tujuh kenderaan yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh di Hulu Selangor, pada Jumaat lepas telah direkod nombor plat pendaftaran bagi mengenal pasti pemiliknya.
Beliau berkata, polis akan meneliti kesemua nombor plat berkenaan untuk melihat jika berkait dengan sembilan mangsa yang masih hilang.
“Saya akan semak dengan pemilik dan saudara mereka yang mempunyai kaitan dengan kereta-kereta yang terlibat,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian hari ini.
Beliau berkata usaha mengesan mangsa yang dikhuatiri tertimbus pada hari ini menemui jalan buntu dan usaha mengesan mereka akan berterusan.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.