Rayuan Rosmah didengar Jun 2023

0
161

MAHKAMAH Rayuan akan mendengar rayuan Datin Seri Rosmah Mansor pada 22 dan 23 Jun tahun depan, terhadap sabitan dan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta, bagi kesalahan rasuah dikenakan terhadapnya.

Tarikh perbicaraan itu ditetapkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Norkamilah Aziz, hari ini ketika pengurusan kes membabitkan Rosmah yang juga isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan Pendakwa Raya, Poh Yih Tinn, berkata rayuan Rosmah terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan, yang menolak permohonannya supaya hakim itu menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes dan membuat keputusan mengenai kes solar akan turut didengar pada tarikh sama.

Hujahan perlu difailkan pada atau sebelum 22 Mei 2023, manakala hujahan balas jika ada, perlu difailkan pada atau sebelum 7 Jun 2023.

“Perayu (Rosmah) akan menulis surat rasmi memohon Mahkamah Rayuan untuk menetapkan tarikh bicara rayuan lanjut, pada 12 hingga 14 Julai 2023.

“Permohonan tertakluk kepada persetujuan Mahkamah Rayuan. Tarikh pengurusan kes selanjutnya pada jam 3 petang, 3 Februari 2023 menerusi aplikasi Zoom untuk pihak-pihak mendapatkan keputusan permohonan perayu,” katanya ketika dihubungi lapor BH Online.

Rosmah, 70, diwakili peguam, Datuk Jagjit Singh dan Datuk Akberdin Abdul Kader.

Isteri Najib itu yang memfailkan petisyen rayuan pada 13 Oktober lalu, mengemuka 127 alasan, antaranya mendakwa keseluruhan keputusan Mohamed Zaini itu berat sebelah dan tidak berlandaskan pertimbangan betul.

Pada 1 September lalu, hakim terbabit mendapati Rosmah bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta.

Rosmah juga diperintahkan supaya dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda itu.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan.

Rosmah didakwa atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here