Enam jalan Pasir Puteh ditutup, dinaiki air melebihi 1 meter

ENAM jalan di Pasir Puteh ditutup selepas dinaiki air melebihi satu meter akibat banjir sejak semalam.

Tiga jalan berkenaan adalah jalan utama iaitu Jalan Gaal (Kilometer (KM) 33.5 – TNB Gaal, Kampung Batu Hitam), Jalan Panggong Tiga Daerah (KM 32- Jalan Kota Bharu/ Kuala Terengganu) dan Jalan Gong Chapa.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria, tiga lagi adalah jalan kampung iaitu Jalan Gaal- Kampung Bukit, Jalan Pasir Puteh – Gong Kelih membabitkan kawasan kampung Surau, Saring, Klinik Jeram dan Telipot serta Jalan Pasir Puteh – Semerak.

“Semua laluan ini ditutup untuk semua kenderaan. Bagaimanapun, bandar lama Pasir Puteh masih boleh dilalui dan tidak lumpuh seperti yang tular di laman sosial.

“Cuma ada beberapa jalan yang menghubungkan kawasan bandar tidak boleh dilalui, namun masih terkawal.

“Kita berharap masyarakat tidak menimbulkan suasana panik kepada awam dan berpindah segera jika kawasan kediaman dinaiki air,” katanya memetik laporan BH Online.

Beliau berkata, orang ramai boleh menggunakan jalan alternatif iaitu Jalan Pesisir Pantai (Tok Bali-Pachakan) dan Kalam Jelor-Pasir Puteh melalui Bukit Gedombak, Jalan Bypass Tok Bali.

Setakat jam 8.41 pagi tadi, seramai 1,070 mangsa daripada 310 keluarga di daerah Pasir Puteh dipindahkan ke lapan pusat pemindahan sementara (PPS).

PPS terbabit adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Changgai, Kompleks Dewan Sri Kamil, SK Wakaf Raja, SK Kamil 1, SK Bukit Jawa 2, SK Sungai Petai, SK Gong Garu dan SK Kamil II.