Oleh BADLISHAH MAT
TINDAKAN wakil Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang didakwa tidak hadir ke Majlis Anugerah Sastera Darul Aman (ASDA) di Alor Setar, malam tadi disebabkan faktor politik mengecewakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.
Muhammad Sanusi mendakwa, beliau dimaklumkan ketiadaan wakil agensi tersebut ke anugerah berkenaan dikatakan berpunca kerana Kedah kini merupakan negeri pembangkang.
Beliau berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan politik tidak seharusnya dijadikan ‘sihir pemisah’ kepada pembangunan sastera dan seni tanah air.
“Sepatutnya majlis ini dianjurkan dengan kerjasama DBP. Jadi saya harap agensi-agensi kerajaan yang mengawal selia isu kesusasteraan, bahasa, seni dan memartabatkan budaya khususnya melalui penulisan tidak diheret ke dalam kancah politik.
“Tak bolehlah mereka amalkan sihir pemisah kerana politik dan sastera penulisan ini berada dalam ‘bakul’ berbeza. Tak boleh buat begini,” katanya selepas merasmikan ASDA yang diadakan di Ibu Pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada).
Mengikut latar belakang pentas anugerah tersebut, ianya secara jelas memaparkan bahawa majlis berkenaan dianjurkan secara bersama antara kerajaan negeri, DBP, Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (Asasi) dan Mada.
Muhammad Sanusi menerusi ucapan perasmiannya sebelum itu berkata, sastera dan seni adalah hak semua yang merentasi kepentingan politik kepartian.
“Saya difahamkan ada orang tak mahu datang sebab program ini di Kedah, kerana partinya lain. Hangpa (kamu) ni gila kot?
“Sastera serta seni bukan ada parti politik. Kalau jadi begini, kita seolah-olah berjalan berundur ke belakang kerana politik sepatutnya semakin hari semakin matang dan perbezaan kita hanya dalam aspek itu (politik) saja, manakala perkara lain kita kena bersatu,” katanya.
Kekecewaan turut diluahkan Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Dr. Mohamad Saleeh Rahamad yang juga ketua juri dalam anugerah tersebut.
“Saya kecewa apabila ada pihak yang tiba-tiba menarik diri daripada turut sama memeriahkan majlis sangat penting dalam dunia persuratan ini.
“Bagaimana politik boleh menjadi sebab kepada ketiadaan satu pihak yang sangat penting sedangkan mereka mempunyai punca kuasa membangunkan persuratan di negara ini,” katanya.
Justeru, beliau berharap perkara itu tidak berlarutan dan sebaliknya semua pihak perlu bersama-sama menghidupkan sastera yang abadi sifatnya walhal kerjaya dalam politik cuma sementara.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.