SEORANG kanak-kanak ditemukan lemas selepas terjatuh ke dalam tali air semasa melihat bapanya memukat ikan di Kampung Jambu Merah, Melor, Kota Bharu, petang semalam.
Mangsa yang berusia tujuh tahun dijumpai bapanya di dasar tali air itu yang mencarinya selepas menyedari anaknya hilang kira-kira pukul 5.45 petang.
Datuk saudara mangsa, Razali Nawi, 66, berkata, kejadian disedari ibu mangsa selepas mendapati anaknya tiada di kawasan berkenaan.
Katanya, dia dan bapa kanak-kanak itu sedang memasang pukat ikan sebelum dimaklumkan bahawa mangsa hilang dan disyaki jatuh ke dalam tali air.
“Saya dan bapa mangsa terus terjun ke dalam tali air sedalam 1.5 meter untuk mencari mangsa. Bapanya membuat selaman beberapa kali sebelum menjumpai mangsa di dasar tali air.
“Mangsa ditemukan dalam keadaan lemah sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Mahligai, Melor di sini sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya hari ini lapor Utusan Malaysia.
Menurut Razali, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini untuk pemeriksaan lanjut.
“Sebelum kejadian, cucu saudara saya itu datang ke sini bersama bapanya dari rumah mereka di Kampung Buloh Poh, Melor untuk memancing di tali air tersebut kira-kira pukul 5 petang.
“Apabila saya dan bapanya memasang pukat di tali air itu, kami menyedari mangsa tiada di kawasan tersebut,” ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Azman Ayob ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.