Perkasa selar tindakan Dong Zong, rakus tuntut pengiktirafan UEC

0
219

Oleh RIZQI ZABIDI

PERTUBUHAN Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyelar tindakan Persatuan Pengarah Sekolah Cina di Malaysia (Dong Zong) yang dilihat mula tergesa-gesa bagi menuntut kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama atau Unified Examination Certificate (UEC), tidak berapa hari selepas pelantikan Perdana Menteri.

Ketua Wira Perkasa, Muhamad Syafiq Ibrahim berkata, Dong Zong tidak seharusnya bertindak terlalu rakus dengan menuntut perkara yang sia-sia dan boleh menyebabkan sistem pendidikan negara terganggu.

Katanya, tindakan itu boleh menimbulkan keadaan yang mengancam keharmonian selain mengakibatkan jurang kaum semakin besar, disebabkan perbezaan silibus serta bahasa digunakan di Malaysia.

“Jika pengiktirafan UEC dibenarkan, itu merupakan satu langkah ke belakang. Langkah itu sangat tidak wajar kerana bercanggah dengan aspirasi dasar pendidikan negara dan dasar kebudayaan kebangsaan.

“Adalah lebih baik jika sistem pendidikan di negara ini disatukan dalam satu aliran saja. Sudah pasti perpaduan kaum di Malaysia akan lebih baik dan terjamin untuk generasi akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Dong Zong menggesa kerajaan baharu mengiktiraf sijil UEC Sekolah Menengah Cina bebas dan menginstitusikan peruntukan Sekolah Menengah Cina secepat mungkin.

Menurut laporan Sin Chew Daily, mesyuarat bersama Persatuan Pengarah Sekolah Cina di Malaysia (Dong Zong) kali ke-93 sebulat suara meluluskan dan menerima 11 cadangan, termasuk menggesa Anwar mengiktiraf sijil UEC dan menginstitusikan peruntukan Sekolah Menengah Cina Persendirian secepat mungkin.

Mengulas lanjut, Muhamad Syafiq turut mendesak dan mengingatkan Menteri Pendidikan yang bakal dilantik agar tidak sesekali melayan sebarang permintaan berkaitan pengiktirafan UEC.

Katanya, Menteri Pendidikan yang akan dilantik itu perlu mengkaji dan mengambil kira Perlembagaan, undang-undang serta kepentingan kedaulatan negara dalam membuat keputusan berkaitan UEC.

Sebaliknya kata beliau, Menteri Pendidikan itu perlu sentiasa fokus kepada usaha memperkasakan serta menambah baik sistem institusi pendidikan negara.

“Kalangan ahli politik yang bersembunyi di sebalik isu pengiktirafan UEC ini juga diingatkan agar tidak mengamalkan politik semptit hanya untuk kepentingan peribadi tanpa mengambil kira dan memikirkan tentang tanah air.

“Jangan kerana orang politik, dasar pendidikan negara menjadi mundur. Negara hanya perlu mengamalkan aliran satu sistem pendidikan kebangsaan saja yang mengkhususkan kepada usaha menyatukan semua kaum,” katanya.

Katanya, Bahasa Melayu juga perlu sentiasa didaulatkan dengan usaha memartabatkan bahasa kebangsaan perlu diteruskan agar menjadi bahasa pengantar utama bagi semua masyarakat di Malaysia. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here