Integriti terjejas jika lantik ahli Parlimen ‘kluster mahkamah’ jadi menteri

0
163

Kumpulan pemerhati pilihan raya Bersih menolak pelantikan mana-mana ahli politik yang mempunyai kes mahkamah ke dalam Jemaah Menteri, terutamanya Ahmad Zahid Hamidi, yang disebut-sebut bagi jawatan timbalan perdana menteri.Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin juga tidak seharusnya dilantik menjadi menteri sehingga kes mahkamah mereka selesai kerana ini akan menjejaskan integriti kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, tambahnya.

“Bersih bimbang (mengenai) sesetengah pihak dan individu yang mencadangkan Zahid untuk dipertimbangkan memegang jawatan timbalan perdana menteri dalam Jemaah Menteri Anwar,” katanya dalam kenyataan.

“Bersih menolak dengan tegas sebarang perlantikan wakil rakyat yang sedang menjalani pendakwaan jenayah ke sebarang jawatan Jemaah Menteri kerana hal yang demikian akan menjejaskan integriti kerajaan pimpinan Anwar dan mencemarkan reputasi negara.

”Kumpulan itu berpandangan, ahli politik yang masih mempunyai kes mahkamah langsung tidak boleh diterima untuk memegang jawatan eksekutif kerana sebarang pembebasan akan dilihat sebagai pemberian pengampunan kepada mereka yang di pihak eksekutif, sekalipun jika kes mereka secara meritnya layak dibebaskan”.

“Hal ini akan melumpuhkan keyakinan rakyat terhadap Jabatan Peguam Negara dan sistem kehakiman,” katanya, lapor FMT.

Lim Guan Eng bersama barisan peguam – Foto hiasan

“Bersih menggesa semua parti dalam kerajaan gabungan campuran ini untuk mengelakkan menamakan individu dalam kes mahkamah kepada perdana menteri untuk pertimbangan beliau dalam proses pembentukan Jemaah Menteri.

”Menjelang pembentukan Jemaah Menteri yang baharu, beberapa pihak mencadangkan Zahid selaku presiden Umno dilantik menjawat jawatan nombor dua dalam kerajaan itu.

Zahid pada 22 Sept telah dibebaskan daripada tuduhan rasuah berkait skim Visa Luar Negara (VLN), namun beliau masih sedang dibicarakan atas 47 lagi tuduhan jenayah pecah amanah membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Sebelum ini, bekas menteri Rafidah Aziz berkata, kluster mahkamah perlu ditolak daripada menyertai Jemaah Menteri kerana ia akan memberi imej negatif kepada kerajaan baharu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here