Ustaz Alias, 2 penggal jadi ‘Giant Killer’ tumbangkan calon heavyweight UMNO-BN

0
295

Oleh MOHD LAZIM ENDUT

SEBELUM ini, Che Alias Abdul Hamid bukanlah suatu nama besar dalam kalangan dunia politik di Terengganu, khususnya di kawasan Parlimen Kemaman.

Namun, selepas beliau berjaya menjadi ‘Giant Killer’ menumbangkan calon ‘heavyweight’ UMNO-Barisan Nasional (BN), Datuk Ahmad Shabery Cheek di kawasan kubu kuat UMNO bagi kerusi Parlimen Kemaman dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), tahun 2018 lalu, namanya mula menjadi sebutan ramai.

Ketika itu Ahmad Shabery merupakan Menteri Pertanian dan Indutri Asas Tani.

Kemenangan Che Alias dilihat sebagai satu kejutan besar dalam dunia politik Terengganu.

Dalam pertandingan tersebut, Che Alias yang mendapat 39,878 undi dan menang dengan majoriti 2,163 undi menewaskan Ahmad Shabery yang mendapat 37,715 undi dan Mohd. Huzaifah Md. Suhaimi (PKR) yang mendapat 12,911 undi.

Apa yang menarik, Che Alias bukan sahaja mampu mengulangi kemenangan diperoleh pada PRU15, 19 November lalu, tetapi sekali lagi berjaya menjadi ‘Giant Killer’ mewakili parti diwakilinya, iaitu Pas-Perikatan Nasional (PN) untuk menumpaskan seorang lagi calon ‘heavyweight’ daripada UMNO-BN, Datuk Seri Ahmad Said.

Walaupun dua penggal berjaya menjadi ‘Giant Killer’ di Parlimen Kemaman, Che Alias yang lebih mesra dipanggil ustaz dalam kalangan pengikutnya, terdiri daripada ahli dan penyokong Pas tidak pernah mendabik dada.

Kemenangan Che Alias (kanan) dilihat sebagai satu kejutan besar dalam dunia politik Terengganu.

Malah, beliau yang juga merupakan Yang Dipertua Pas kawasan Kemaman seakan tidak percaya sebaik sahaja beliau diumumkan sebagai pemenang pada PRU15 dengan majoriti agak besar, iaitu 27,179 undi.

Ini kerana, lawan Che Alias bukan calang-calang orang, sebaliknya bekas Menteri Besar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu.

Beliau pada mulanya hanya menjangkakan mendapat kemenangan majoriti kecil, namun terperanjat setelah pengumuman rasmi dibuat dia mendapat 65,714 undi manakala Ahmad pula mendapat 38,535 undi.

Dua lagi calon, Hasuni Sudin (PH) mendapat 8,340 undi dan Rosli Abdul Ghani (Pejuang) mendapat 506 undi.

Dengan pencapaian bersejarah ini, bermakna Che Alias berjaya menjadi ‘Giant Killer’ sebanyak dua kali bagi menumpaskan calon ‘heavyweight’ UMNO-BN.

Beliau mula diberi peluang oleh pucuk kepimpinan Parti Pas menjadi calon dalam PRU13, apabila bertanding buat pertama kali di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemasik.

Dengan pencapaian bersejarah ini, bermakna Che Alias berjaya menjadi ‘Giant Killer’ sebanyak dua kali bagi menumpaskan calon ‘heavyweight’ UMNO-BN.

Bagaimanapun, dalam pertandingan tersebut beliau tewas kepada penyandang kerusi DUN berkenaan, Rosli Othman (UMNO-BN).

Rosli yang menang dengan majoriti 898 undi mendapat 8,230 undi, Che Alias mendapat 7,332 undi dan Zulkiflee Salleh (PKR) 638 undi.

Sebelum terlibat dengan politik, Che Alias merupakan seorang pendakwah bebas serta pengasas dan Pengetua Sekolah Darul Taqwa, Kemaman.

Ramai bertanya, adakah majoriti besar diperoleh calon PN ini sebagai isyarat bahawa gabungan parti tersebut bakal mencipta kemenangan besar bagi empat DUN di Kemaman, iaitu Kijal, Cukai, Air Putih dan Kemasik selepas DUN Terengganu dibubarkan pada tahun hadapan? – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here