Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Polis terima 33 laporan nama, kad pengenalan diguna orang lain untuk mengundi pada PRU15 -
Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain

Polis terima 33 laporan nama, kad pengenalan diguna orang lain untuk mengundi pada PRU15

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

SEBANYAK 28 daripada 33 kertas siasatan berkaitan kes nama dan kad pengenalan digunakan individu lain untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sudah pun dibuka polis Pulau Pinang.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, semua kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 7 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 iaitu kesalahan menyamar sebagai pengundi sebenar.

“Jika sabit kesalahan kes ini boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih dari dua tahun dan denda tidak lebih daripada RM5,000.

“Kes ini merupakan sebahagian daripada keseluruhan 76 laporan yang diterima polis Pulau Pinang sepanjang tempoh pelaksanaan PRU15 antara 5 hingga 19 November lalu.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 43 kertas siasatan dibuka dengan empat kes berjaya diselesaikan selepas empat suspek telah dituduh di mahkamah,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat kontinjen polis (IPK) Pulau Pinang di Georgetown, hari ini.

Sepanjang tempoh PRU15 juga, pihaknya menerima laporan berkaitan sebuah video yang tular dalam media sosial melibatkan seorang pemimpin parti politik yang menyentuh sensitiviti agama.

Ujar beliau, lapan laporan polis turut diterima di negeri lain melibatkan video itu iaitu tiga di Kuala Lumpur; dua di Perak dan masing-masing satu laporan di Pahang; Kelantan dan Sabah.

“Kes ini telah disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bukit Aman mengikut Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan Mohd. Shuhaily berkata, Polis Pulau Pinang turut menjalankan sekatan jalan raya (SJR) di 12 lokasi di seluruh negeri itu seperti yang dilancarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula semalam.

Ujarnya, SJR itu dibuka masing-masing sebanyak tiga di daerah Timur Laut dan Seberang Perai Selatan (SPS); dua di Seberang Perai Tengah (SPT); empat di Seberang Perai Utara (SPU) dan satu di Barat Daya. – SB