PN tumpu keharmonian, kestabilan di Pahang

0
204

TIMBALAN Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, menjelaskan perbincangan pembentukan kerajaan Pahang dengan Barisan Nasional (BN) menjurus untuk mewujudkan keharmonian dan kestabilan politik di negeri itu.

Beliau berkata, perbincangan memberi tumpuan kepada pembangunan negeri, kebajikan rakyat serta usaha memperkukuhkan kerjasama dua parti teras di Pahang.

Beliau juga yakin, kemelut pembentukan kerajaan negeri dapat diselesaikan menerusi semangat ukhwah Islamiyah, berpandukan kebijaksanaan Sultan dan Pemangku Raja Pahang.

“Memang benar saya dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta beberapa pimpinan mengadakan pertemuan bagi membincangkan kemelut di Pahang.

“Kami yakin ia dapat diselesaikan dengan baik. Berita mengenai syarat yang ditularkan sangat tidak tepat dan tidak perlu dilayan,” katanya menerusi muat naik di Twitter, hari ini lapor BH Online.

Semalam, media melaporkan, Tuan Ibrahim, yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian sudah mengadakan perbincangan dengan Wan Rosdy, yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Pahang berhubung pembentukan kerajaan negeri.

Beliau, yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Cheka itu mewakili Majlis Tertinggi PN untuk mengetuai rundingan pembentukan kerajaan Pahang, seperti dimaklumkan Pengerusi PN negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), PN Pahang memenangi 17 kerusi daripada 41 kerusi DUN Pahang, diikuti BN (16), manakala Pakatan Harapan (PH), memperoleh lapan kerusi. 

Tiada parti memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri, sekali gus bakal menyaksikan kerajaan campuran seperti yang berlaku di Perak.

Proses pengundian bagi satu lagi kerusi DUN iaitu Tioman akan dilaksanakan pada 7 Disember depan, susulan kematian calon PN, Md Yunus Ramli, awal pagi Sabtu lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here