Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
PRU-15: Kecoh lelaki ada masalah mental rampas, tolak kotak undi -

PRU-15: Kecoh lelaki ada masalah mental rampas, tolak kotak undi

SEORANG lelaki mempunyai masalah mental dikesan membuat kekecohan dengan merampas dakwat serta menolak peti undi di Pusat Daerah Mengundi di Ulu Yam, Hulu Selangor, pada Sabtu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, lelaki berusia 27 tahun berkenaan dikatakan merampas dakwat dan menolak kotak undi sehingga jatuh.

“Bagaimanapun lelaki tersebut didapati mempunyai rekod sebagai pesakit mental.

“Selain itu, kita mengesan tiga kes membabitkan pengundi yang meninggal dunia ketika beratur untuk mengundi membabitkan satu kes di Kota Bharu, Kelantan dan dua kes di Johor,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak hari ini seperti yang dilaporkan Utusan Online.

Dalam pada itu Acryl berkata, beliau sempat melakukan tinjauan di empat pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Amanpuri, Damansara; SK Intan Baiduri, Kepong; SK Setapak Indah dan SK Sungai Kertas, Sri Gombak.

“Saya dimaklumkan oleh SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) bahawa hampir 46 peratus pengundi mengundi sehingga pukul 12.45 tengah hari tadi.

“Berdasarkan tinjauan dilakukan, saya mendapati pengundi berpusu-pusu keluar menunaikan tanggungjawab pada sebelah pagi menyebabkan keadaan beberapa pusat mengundi mengalami kesesakan.

“Bagaimanapun, saya dimaklumkan kesesakan di beberapa lokasi mula reda sejak 10.30 pagi tadi, ada tempat (pusat mengundi) tidak lagi perlu beratur di luar premis,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan keadaan agak lengang di pusat mengundi menjelang petang ini memandangkan ramai pengundi sudah menunaikan tanggungjawab pada sebelah pagi.

“Melihat kepada keadaan itu, saya percaya proses mengundi sehingga pukul 6 petang nanti akan kembali reda berbanding pagi tadi.

“Meskipun keadaan sesak pada sebelah pagi, namun ia terkawal sekali gus memperlihat masyarakat adalah matang dalam melaksanakan tanggungjawab dengan penuh berhemah, tenang dan tenteram,” katanya.

Mengulas mengenai kesiapsiagaan pihak polis menjelang pengumuman keputusan malam ini, beliau meminta semua pihak supaya menerima apa jua keputusan diumumkan.

“Apa jua keputusan yang akan diumumkan malam ini, kita harap semua pihak menerima keputusan dengan lapang dada.

“Sebagai persediaan, kita pasti sudah bersedia untuk menangani apa juga situasi bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terjamin,” katanya.