Wanita sebak berdialog dengan Muhyiddin, mohon PN kukuhkan kembali ringgit

0
212

SESI dialog sempena pelancaran manifesto Perikatan Nasional (PN) Tawaran ‘Prihatin, Bersih dan Stabil: Malaysia Gemilang’ atau PN BEST, semalam menarik perhatian ramai pihak.

Ini selepas seorang peserta dikenali sebagai Mastura mengajukan, soalan kepada Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam keadaan sebak mengenangkan nasib yang menimpa.

Mastura berkata, dia berdepan dengan situasi sukar sejak penularan Covid-19 namun berjaya bangkit melalui pelbagai inisiatif dibawa Muhyiddin ketika menjadi Perdana Menteri.

Namun begitu, dia yang kini terlibat dalam perniagaan makanan salai berdepan dengan tekanan sekali lagi susulan daripada kejatuhan mendadak mata wang ringgit.

Sehubungan itu, Mastura berharap, sekiranya PN diangkat menjadi kerajaan, isu yang memberi kesan kepada peniaga kecil ini dapat diselesaikan.

Menjawab soalan tersebut, Muhyiddin berkata, beliau memahami permasalahan membelenggu peniaga kecil yang rata-ratanya masih terjejas sehingga kini.

Oleh disebabkan itu, katanya, PN akan menumpukan kepada usaha untuk memperkukuhkan kembali ekonomi negara sebagai agenda utama yang perlu diberikan tumpuan khusus sekiranya diberi mandat kelak.

“Sekarang ini oleh kerana ringgit dikaitkan dengan soal dolar bila Amerika menaikkan kadar QPR dan sebagainya, maka kesannya ke seluruh dunia dan Malaysia juga terkesan.

“Jadi perkara pokok kepada segala apa yang disebutkan tadi ialah macam mana kita nak kukuhkan balik kedudukan ekonomi kita.

“Itu sebab agenda yang saya sebut tadi ‘is to strengthen back’ dan proses ‘recovery’ itu mesti dipercepatkan supaya kedudukan ringgit kita makin kukuh dan ini akan menjamin harga yang lebih stabil,” katanya, lapor Utusan TV.

Muhyiddin menambah, apabila ekonomi negara kuat dan mampu menjana pendapat sendiri maka kebergantungan kepada pihak lain seperti dialami sekarang tidak akan berlaku.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here