Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Elon Musk jadi pengarah tunggal Twitter, pecat keseluruhan ahli lembaga pengarah -

Elon Musk jadi pengarah tunggal Twitter, pecat keseluruhan ahli lembaga pengarah

ELON Musk memecat kesemua ahli lembaga pengarah Twitter pada Isnin, seminggu selepas memuktamadkan pengambilalihan gergasi media itu membabitkan bayaran sebanyak AS$44 bilion.

Tindakan itu sekali gus menjadikan CEO Tesla dan SpaceX itu sebagai pengarah tunggal Twitter, lapor Anadolu Agency (AA).

“Ini hanya sementara,” ciap Musk selepas melakukan “pembersihan” terhadap barisan kepimpinan tertinggi syarikat itu.

Antara yang dipecat ialah Ketua Eksekutif Parag Agrawal, Ketua Pegawai Kewangan Ned Segal dan bekas pengerusi Bret Taylor.

Musk, orang terkaya di dunia turut menawarkan untuk membeli balik semua bon tertunggak Twitter, menurut dokumen yang difailkan di Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) AS.

Pengambilalihan Twitter oleh Musk telah mencetuskan perdebatan mengenai kebebasan bersuara berbanding bahaya dalam talian dengan Musk sendiri sebelum ini mengkritik dasar penyederhanaan Twitter dan menuduh platform itu berat sebelah terhadap pandangan berhaluan kiri.

Musk belum lagi memperincikan rancangannya untuk visi Twitter, namun beliau dijangka melonggarkan peraturan penyederhanaan serta mengurangkan kakitangan syarikat secara menyeluruh .

Beliau juga dipercayai menerima idea meminta pengguna membayar untuk tanda “blue check” yang digunakan bagi mengesahkan akaun terkenal selebriti, ahli politik, pemimpin perniagaan dan wartawan.–Bernama