Rina Harun pastikan Sepang sumbang satu kerusi bentuk kerajaan PN 

0
318

KETUA Srikandi BERSATU Malaysia, Datuk Seri Rina Mohd Harun mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan parti Perikatan Nasional (PN) selepas beliau dipilih sebagai calon bagi Parlimen Sepang menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Menurut Rina, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, beliau mahu memastikan Sepang mampu menyumbangkan satu kerusi bagi membentuk kerajaan PN.

“Saya mahu ucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan parti di atas kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk memikul amanat dan tanggungjawab ini. Terima kasih juga kepada rakan-rakan dan sahabat daripada pemuda PN, Bersatu dan Pas kerana sama sama menyokong.

“Ini bukanlah untuk Rina Harun tapi untuk rakyat Sepang agar kita dapat bergerak dan mara untuk yang lebih baik lagi,” katanya dalam Program Jelajah Prihatin Parlimen Sepang di Dataran Sadiman, Bukit Changgang di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut katanya, beliau mahukan pesaingan yang sihat selepas kerusi Parlimen Sepang dilihat menjadi tumpuan ketua-ketua wanita di peringkat pusat dan berharap lebih ramai lagi calon wanita peroleh kejayaan.

“Nampaknya Sepang ini menjadi tumpuan ketua-ketua wanita di peringkat pusat dan kita telah dimaklumkan Ketua Wanita daripada Amanah sendiri, Ketua Wanita daripada Pejuang dan kita harap pesaingan ini adalah pesaingan yang sihat.

“Tapi sebenarnya saya harapkan wanita untuk bertanding di kawasan lain supaya kita tahu bila ada wanita yang bertanding mesti ada yang menang dan kalah dan kita nak lebih ramai lagi calon wanita untuk peroleh kejayaan,” ujarnya lagi, lapor BeritaBersatu.

Terdahulu, Rina diumumkan secara rasmi sebagai calon PN bagi kerusi Parlimen Sepang.

Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa Program Jelajah Prihatin di Dataran Sadiman, Bukit Changgang di sini malam tadi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here