SEORANG lelaki maut apabila kereta Perodua Myvi yang dipandunya terlibat kemalangan dengan sebuah lori 10 tan jenis Nissan di Jalan Pekan Nenas-Ulu Pulai Berhampiran Depoh Imigresen, Pekan Nenas, pada Selasa.
Menurut Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Assisten Komisoner Rahmat Ariffin, kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan Perodua Myvi itu terbabas hingga memasuki ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori berkenaan.
“Hasil siasatan mendapati, Perodua Myvi itu sedang dalam perjalanan dari Gelang Patah (Iskandar Puteri) menghala ke Pontian.
“Akibat pertembungan itu, pemandu Perodua Myvi berusia 26 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mangsa telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah bagi tujuan bedah siasat, manakala pemandu lori yang berusia 50 tahun tidak mengalami apa-apa kecederaan,” katanya pada Selasa, lapor Sinar Harian.
Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pekan Nenas, Penolong Pegawai Bomba (PPgB ) Iqbal bin Raduan berkata, seramai 14 anggota bersama dua jentera FRT dari BBP Pekan Nenas dan BBP Iskandar Puteri bergegas ke lokasi selepas menerima maklumat kejadian pada pukul 5.54 petang.
“Anggota pasukan menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit di bahagian tempat duduk pemandu kereta berkenaan,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.