Besut dilanda ribut, rumah, sekolah rosak teruk

0
210

PENGHUNI lebih 60 rumah di tujuh kampung di Jertih berdepan detik cemas apabila kawasan itu dilanda ribut sehingga merosakkan kediaman mereka pada petang semalam.

Kampung terlibat dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu ialah Kampung Pusu Tinggi, Bukit Puteri, Dengir, Tok Has, Lay Out Tok Has, Gong Penaga dan Air Terjun manakala Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Puteri yang terletak di Kampung Tok Has turut mengalami kerosakan dalam insiden itu.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Azbi Salleh berkata kebanyakan rumah mengalami kerosakan pada bahagian bumbung dalam kejadian hujan lebat yang berlarutan hampir satu jam itu.

“Pihak kami dalam tindakan mendapatkan maklumat jumlah sebenar keluarga yang terjejas kerana kemungkinan ada lagi mangsa yang belum melaporkan kejadian kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Besut, Hamdhan Abd Ghafar berkata tiada kecederaan dilaporkan susulan kejadian berlaku selepas waktu persekolahan di mana semua guru dan pelajar telah pulang.

Katanya, bumbung garaj letak kereta guru diterbangkan ribut sehingga tersangkut pada bumbung bangunan kelas berdekatan.

“Empat kelas mengalami kerosakan di bahagian bumbung apabila atap diterbangkan angin namun tidak ada sebarang kecederaan. Kejadian berlaku selepas waktu persekolahan, pelajar serta guru telah pulang ke rumah masing-masing.

“Persekolahan beroperasi seperti biasa hari ini tetapi murid yang kelas mereka terjejas ditempatkan sementara di dewan sekolah dan tindakan segera akan diambil untuk membaiki kerosakan supaya murid-murid dapat mengikuti pembelajaran seperti biasa apabila sekolah dibuka Rabu depan,” katanya. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here