Ditolak bank, PKS cari along

BANYAK perniagaan kini beralih kepada bentuk pembiayaan alternatif dengan kos lebih tinggi berikutan kesukaran mendapat pinjaman daripada bank kata Pengerusi Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (Samenta) William Ng.

Ini termasuk pembiayaan ‘peer-to-peer’ (P2P) yang membolehkan perniagaan mengumpul dana daripada pelabur menerusi platform dalam talian.

Namun katanya ada juga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) lain yang beralih kepada pinjaman wang tidak berlesen bagi mendapatkan wang pendahuluan menyebabkan mereka menanggung kadar faedah lebih tinggi.

Katanya, dokumentasi yang lemah dan sumber kewangan tidak memberangsangkan menjadi punca utama PKS sukar mendapat kelulusan pinjaman bank.

“Pandemik menjejaskan kemampuan banyak PKS untuk beroperasi. Kesannya, rekod kewangan bagi 2020 dan 2021 menunjukkan kesan tidak ideal. Jadi, ia menyukarkan pihak bank meluluskan pinjaman kepada mereka,” katanya lapor Free Malaysia Today.

Menurutnya kajian dijalankan Samenta pada Julai turut mendapati punca lain termasuk kurang modal kerja selain aliran tunai tidak mencukupi.

Beliau melahirkan keyakinan sudah tiba masa untuk bank menunjukkan keanjalan lebih besar mempertimbangkan data alternatif bagi kelulusan pinjaman termasuk data perniagaan seperti trend jualan, pemilikan aset dan penguasaan pasaran.

Malah beliau turut  berharap Bank Negara Malaysia boleh menerajui dalam mengenal pasti ciri lebih luas bagi menyakinkan pihak bank ketika memproses permohonan pinjaman.

“Ini akan memberi peluang lebih baik kepada perniagaan kecil-kecilan mendapatkan pembiayaan diperlukan mereka,” katanya.

Namun Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Hamirullah Boorhan berkata kadar kelulusan bagi suku kedua tahun ini (2Q22) dilihat lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Kadar kelulusan meningkat 21.7%, didorong permohonan pinjaman lebih tinggi,” katanya yang turut mengesyorkan penggunaan penyelesaian perbankan digital kerana memudahkan penyimpanan rekod.