11 individu didakwa menculik bagi dapatkan perisian godam telefon bimbit

SERAMAI 11 individu termasuk seorang wanita, dihadapkan di Mahkamah Majistret hari ini atas dakwaan menculik seorang warga Palestin bagi mendapatkan maklumat berkaitan perisian, yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit, bulan lalu, di Kuala Lumpur.

Kesemua tertuduh ialah Edy Ko’im Said, 40 Mohamad Norakmal Hassan 41, Dody Junaidi 42, Tengku Arif Bongsu Tengku Hamid 39, Mohamad Naziree Mustapha 39, Faizull Hardey Mohd Isa 40, Muhammad Iqmal Abdul Rahis 25, Mohamad Sufian Saly 23, Muhammad Al Hatim Mohd Fauzi 21, Nidarahayu Zainal 34, dan Raibafie Amdan 39.

Mereka didakwa dengan niat bersama, menahan Omar Albelbaisy Reeda 31, dengan cara tidak berpatutan untuk mendapatkan ganjaran iaitu rahsia maklumat untuk membuat dan menyahaktif perisian komputer yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit.

Kesemua tertuduh yang diiringi dengan ketat oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), memahami pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah, bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana pertuduhan dikenakan ke atas mereka mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 (Akta 365), adalah di bawah kuasa Mahkamah Tinggi.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Mayang, di sini pada jam 10.40 malam, 28 September lalu dan pertuduhan ke atas mereka dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sementara itu Majistret Wong Chai Sia tidak membenarkan kesemua tertuduh dijamin selepas Timbalan Pendakwa Raya Fatin Hanum Abdul Hadi memaklumkan kepada mahkamah bahawa pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan berkenaan tidak boleh dijamin, lapor Berita Harian.

Pada 5 Oktober lalu, akhbar melaporkan seorang lelaki warga Palestin yang diculik menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) berjaya diselamatkan dalam kejadian di Jalan Yap Kwan Seng, di sini pada 28 September lalu.

Mangsa yang dipercayai ahli perniagaan berjaya diselamatkan menerusi serbuan berasingan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada 29 September.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, melalui operasi dijalankan, polis berjaya menahan 18 individu terdiri daripada lelaki dan wanita warga tempatan serta satu warga Indonesia.