DATUK Mas Ermieyati Samsudin sedia mempertahankan kerusi Parlimen Masjid Tanah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.
Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan berbuat demikian sekiranya pucuk pimpinan Perikatan Nasional (PN) memberikan mandat kepadanya.
“Meskipun setakat ini Bersatu belum membuat sebarang keputusan berhubung calon-calon yang diputuskan, namun pimpinan parti telah memberi bayangan bahawa ahli Parlimen parti akan dicalonkan semula di kerusi sedia ada.
“Dengan kudrat yang ada, saya akan sedaya upaya cuba untuk menawan hati pengundi termasuk merancang strategi dan siap siaga mengharungi Pilihan Raya Umum (PRU) dalam musim banjir.
“Sesiapa pun yang dicalonkan mana-mana pihak tidak semestinya Barisan Nasional (BN) sahaja, dari mana-mana parti kita bersedia hadapi, buat persiapan, dapatkan sokongan dan sebagainya,” katanya.
Mas Ermieyati berkata demikian ketika ditemui pemberita di Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Masjid Tanah di Masjid Tanah, Melaka, hari ini.
Beliau berkata, gerak kerja dan komitmen yang diberikan sepanjang tempoh empat tahun setengah sebagai wakil rakyat Bersatu akan menjadi kayu ukur sokongan pengundi.
“Walau apa pun pasang surut berlaku dalam politik tanah air, tapi saya tidak pernah tinggalkan tugas dan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah.
“Saya kira itu menjadi rekod pencapaian saya kalau diberi kepercayaan pucuk pimpinan untuk saya berada lagi di Masjid Tanah,” kata beliau lagi yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang).
Jelas beliau, PRU akan datang ini memperlihatkan pertambahan pengundi dalam parlimen itu dari lebih 50,000 pengundi kepada 69,098 pengundi manakala pengundi muda bawah 40 tahun kira-kira 51 peratus.
“Jadi banyak isu-isu yang menghimpit mereka terutama sekali isu ekonomi, pekerjaan dan isu-isu sosial.
“Kita perlu tengok bagaimana untuk kita atasi masalah ini dan selari dengan gerak kerja apa yang telah saya lakukan sepanjang jadi Ahli Parlimen,” ujar beliau, sebagaimana dilaporkan Sinar Harian.
Pada PRU-14 beliau yang bertanding atas tiket BN menang dengan 22,898 undian ketika menentang bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Dr. Sabirin Jaafar mewakili PKR dan calon Pas, Mohd. Nasir Othman.
Selain Mas Ermieyati, Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf turut disebut-sebut akan dicalonkan untuk kerusi itu.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.