Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Lelaki cederakan isteri dipenjara 24 bulan -

Lelaki cederakan isteri dipenjara 24 bulan

SEORANG lelaki dihukum penjara selama 24 bulan oleh Mahkamah Majistret di Marang, hari ini atas pertuduhan mencederakan isterinya.

Tertuduh, Ahmad Zughairi Mohd Zuki, 36, mengaku bersalah selepas tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mangsa yang berusia 36 tahun di hadapan sebuah rumah di Bukit Payung di Marang, pada 7.45 malam pada 3 Mei lalu.

Tertuduh mengulangi kesalahan sama masing-masing di dua lokasi berasingan di Bukit Payung di Marang, pada 15 Julai dan 22 Julai lalu.

Bagi setiap kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (KK) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 326A KK.

Harian Metro melaporkan, sejurus pengakuan bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam bulan bagi pertuduhan pertama.

Tertuduh dijatuhi hukuman penjara masing-masing lapan dan 10 bulan bagi pertuduhan kedua dan ketiga.

Bagaimanapun, tertuduh hanya menjalani hukuman penjara 10 bulan selepas mahkamah mengarahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula daripada tarikh sabitan iaitu hari ini.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Othman Ibrahim manakala tertuduh diwakili peguam, Che Amir Che Musa.