DEWAN Ulamak Pas menyarankan semua pihak untuk menyelesaikan isu rakyat terlebih dahulu berbanding tergesa-gesa mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Ketua Dewan Ulamak Pas, Senator Datuk Ahmad Yahya berkata, pihaknya juga berpendapat kerajaan perlu memastikan penggal pemerintahan berakhir sebelum melaksanakan pilihan raya nanti.
Tegas beliau, tanggungjawab menjaga keperluan dan kebajikan rakyat adalah perkara yang perlu diutamakan ketika ini.
“Dewan Ulamak Pas Pusat menggesa semua parti politik tidak mengutamakan kepentingan berpolitik semata-mata hingga sanggup tidak mempedulikan kepentingan rakyat dalam negara.
“Desakan yang berterusan terhadap pembubaran Parlimen perlu diteliti semula atas dasar kepentingan rakyat dan bukan kepentingan politik semata-mata supaya urusan menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat yang lebih utama hendaklah terlebih dahulu diselesaikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, unjuran keadaan cuaca yang tidak menentu serta musim peralihan monsun merupakan tanda awal kepada perlunya kesiapsagaan yang rapi menghadapi kemungkinan bencana banjir yang besar.
Begitupun, jelas beliau, dalam keadaan yang tidak menentu ada pihak yang masih tegar mahu melaksanakan pilihan raya ketika rakyat sedang diselubungi kebimbangan.
Tegas beliau, semua pihak diingatkan tentang banjir puing yang dahsyat melanda beberapa negeri termasuklah negeri di Pantai Barat pada penghujung tahun lalu.
“Walaupun banjir sebesar itu jarang sekali berlaku, namun dalam keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini, unjuran kebarangkalian berlakunya banjir-banjir besar oleh agensi tertentu tetap berasas.
“Rakyat pernah dikecewakan dengan perlaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada September 2020 ketika rakyat dan negara masih dihimpit pandemik Covid-19 ketika itu.
“Lebih mendukacitakan adalah pelaksanaan PRN tersebut dirujuk menjadi punca penularan sporadik kes yang kembali mencatatkan peningkatan selepasnya,” katanya, lapor Utusan TV.
Ahmad turut mengingatkan semua pihak agar tidak bersikap degil yang akan menyebabkan ‘rosak susu sebelanga’.
Katanya, ahli politik tidak mengira latar belakang seharusnya mengambil iktibar terhadap rantaian isu yang berlaku dalam negara ini.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.