Polis kenal pasti dua, tiga suspek kes culik Azi

POLIS mengenal pasti dua hingga tiga lelaki warga tempatan, disyaki terbabit dengan kes penculikan ejen jualan kosmetik, Rosnazira Mohd Naim, oleh sekumpulan lelaki pada 13 September lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata suspek itu dipercayai masih berada di negara ini dan polis juga akan memohon ekstradisi secara undang-undang terhadap suspek yang terbabit.

“Polis masih menjalankan siasatan mengikut keterangan yang ada. Jadi, kita mohon supaya semua bersabar supaya polis boleh menyiasat kes ini,” katanya pada sidang media, lapor BH Online.

Terdahulu, Acryl Sani menghadiri Majlis Sambutan Peringatan Hari Polis Marin Ke-75 di Markas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1, Batu Uban, Georgetown, Pulau Pinang.

Turut hadir, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain dan Komander PPM Wilayah 1, Asisten Komisioner Shamsol Kassim.

Mengulas lanjut, Acryl Sani berkata, kerjasama erat antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Polis Thailand membatu menyelesaikan kes yang berlaku di negara asing sehingga berjaya menjejak dan membawa mangsa pulang.

Dalam kejadian petang 13 September lalu, Rosnazira, 36, turut dikenali sebagai Azi, diculik di hadapan rumahnya di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, Tumpat oleh sekumpulan lelaki sebelum dibawa ke Thailand menerusi Sungai Golok.

Mangsa berjaya diselamatkan dan dibawa pulang ke negara ini pada 29 September lalu, hasil kerjasama PDRM dan polis Thailand.

Tujuh lelaki tempatan ditahan berhubung kes itu di tiga negeri iaitu Kelantan, Selangor dan Kuala Lumpur. Tiga daripadanya sudah dibebaskan, manakala empat lagi masih ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961.

Mengenai kes penculikan kanak-kanak dan penjualan organ yang tular di media sosial, Acryl Sani berkata, kebanyakan kes berkenaan didapati tidak benar serta diada-adakan tanpa dapat dipastikan tujuannya.

“Kecuali kes yang berlaku di Genting Highlands itu, tetapi ia masih dalam perbicaraan, suspek sudah dituduh dan biarlah diselesaikan di mahkamah.

“Memang benar kita digalakkan menjaga keselamatan, tetapi kita juga seru kepada ibu bapa supaya tidak terbabit menyebarkan berita tidak benar yang boleh menggugat keamanan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, PDRM sudah melakukan persediaan rapi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).