PM akan hadap Agong cadang tarikh bubar Parlimen

0
277

UMNO mahu PRU tahun ini juga

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan pada tahun ini juga.

Perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu di Kuala Lumpur malam ini.

Berikut kenyataan penuh beliau;

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang berlangsung pada malam ini, 30 September 2022 bersamaan 4 Rabiul Awal 1444 Hijrah dan dipengerusikan oleh  Datuk Seri Dr Ahmad Zahid  Hamidi, Presiden UMNO telah mencapai beberapa ketetapan berikut:

1.         Pembubaran Parlimen hendaklah diadakan dalam masa terdekat bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 diadakan pada tahun ini juga. Berdasarkan keputusan ini, YAB Perdana Menteri akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan.

2.         Keputusan Mesyuarat ini adalah berasaskan pendirian konsisten UMNO sejak dari awal untuk memulangkan mandat rakyat yang tertangguh akibat Pandemik Covid-19  setelah runtuhnya Kerajaan Pakatan Harapan kerana persengketan dalaman politik sesama mereka.

3.         Sehubungan itu, semua jentera parti di setiap peringkat adalah diarahkan untuk memuktamadkan segala persiapan yang telah dibuat sebelum ini bagi memasuki fasa pembubaran sehinggalah kepada tarikh Pilihan Raya Umum ke-15.

4.         UMNO percaya hanya dengan mengembalikan hak rakyat bagi membolehkan mandat sebenar diperolehi, maka sebuah kerajaan yang stabil dapat dibentuk bagi memulihkan negara khususnya dalam aspek ekonomi yang berkait rapat dengan soal kesejahteraan hidup mereka, disamping beberapa usaha pembaharuan institusi ke arah mewujudkan tadbir urus yang lebih baik buat negara.

5.         Mesyuarat juga menyambut baik keputusan Kabinet yang mengarahkan siasatan lanjut dan tindakan perundangan segera dilaksanakan oleh agensi-agensi penguat kuasa berkaitan bagi menyiasat salah laku bekas Peguam Negara Tommy Thomas. Mesyuarat juga menggesa agar Laporan Pasukan Petugas Khas Siasatan Ke Atas Buku Tommy Thomas bertajuk “My Story: Justice In the Wilderness” untuk segera didedahkan kepada umum. 

Ini penting bagi memulihkan imej dan integriti institusi kehakiman serta kedaulatan undang-undang negara, seperti contoh yang terdapat di dalam muka surat 342 buku tersebut yang berkemungkinan melanggar Seksyen 32 Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009.

6.         UMNO juga menjunjung titah KDYMM Sultan Johor pada 15 Mei 2022 lalu, yang mahukan laporan siasatan pasukan petugas khas dalam isu kedaulatan Batu Putih untuk segera dibentangkan dan didedahkan kepada umum kerana ia membabitkan soal maruah dan kedaulatan negara.

7.         Mesyuarat MKT menerima perletakan jawatan Tan Sri Zulhasnan Rafique sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO dan merakamkan ucapan terima kasih atas khidmat yang telah beliau berikan.  Sebagai penggantinya, mesyuarat bersetuju untuk melantik Datuk Wira Mohd Hafarizam Harun sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO yang baru.

8.         Adalah dimaklumkan bahawa Mesyuarat MKT memecat Datuk Zaharin Mohd Yasin daripada menjadi ahli UMNO berkuat kuasa serta merta mengikut Fasal 10.6 dibaca bersama Fasal 5.9 kerana melanggar Etika Ahli UMNO di bawah Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO.

9.         Mesyuarat MKT juga mengambil maklum berkenaan kunjungan Tuan Guru Tan Sri H Abdul Hadi bin Awang, Presiden Pas bertemu dengan Presiden UMNO baru-baru ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here