‘Top 5’ UMNO capai kata sepakat – Tok Mat

0
179

MESYUARAT membabitkan lima pemimpin tertinggi UMNO atau dikenali ‘Top 5’ hari ini berjaya mencapai kesepakatan untuk kebaikan parti itu bergerak ke hadapan.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bagaimanapun tidak memperincikan kesepakatan yang dicapai oleh Top 5 itu di sebalik cakap-cakap mengenai pembubaran Parlimen mahu pun Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Alhamdulillah, perbincangan bersama kepimpinan Top 5 parti tengahari tadi berlangsung dengan baik.

“Dapat capai kesepakatan untuk kebaikan parti bergerak kehadapan,” tulisnya di Facebook.

Mesyuarat melibatkan Top 5 UMNO itu yang difahamkan berlangsung di Ibu Pejabat UMNO di Menara Dato Onn di Kuala Lumpur terlebih dahulu dikongsi Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menerusi akaun Facebook miliknya.

Top 5 UMNO merujuk kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan dan tiga Naib Presiden iaitu Ismail Sabri, Mohamed Khaled serta Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Sebelum ini, UMNO memaklumkan perkara berkaitan tarikh pilihan raya umum akan dibincangkan dalam kalangan Top 5 parti itu.

Malam ini, MKT UMNO akan bermesyuarat, antaranya bagi membincangkan isu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bulan lalu, Ismail Sabri memberi bayangan beliau akan berjumpa ‘top five’ UMNO untuk membincangkan tarikh PRU15 sebelum pembentangan Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada 7 Oktober ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here