Johor sedia laksana Akta Lompat Parti

0
193

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

JOHOR bersedia meminda perlembagaan negeri bagi menguatkuasakan Enakmen Anti-Lompat Parti di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyokong usaha berkenaan dan menunggu rang undang-undang (RUU) diluluskan di peringkat Majlis Raja-Raja terlebih dahulu.

Beliau menjelaskan, kerajaan Johor tidak menolak pelaksanaan enakmen berkenaan tetapi hanya menolak penubuhan jawatankuasa pilihan khas bagi menjalankan kajian yang dicadangkan pembangkang.

“Hari ini (Khamis), pembangkang membuat dakwaan bahawa kerajaan negeri menolak untuk melaksanakan akta Anti Lompat Parti, sedangkan yang kita tolak adalah penubuhan jawatankuasa.

“Ini kerana perkara itu telah diluluskan di Dewan Negara dan turut mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, proses seterusnya adalah perkara itu akan dibincangkan dalam Majlis Raja-Raja.

“Johor, kita jelas tidak mahu katak-katak politik ini, namun kita tidak mahu mendahului kuasa raja-raja. Jadi Johor akan ikut perjalanan proses tersebut dan apabila ia lulus di peringkat Majlis Raja-Raja, sudah boleh dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Kelab Media Johor (KMJ) di Hotel Grand Paragon di sini pada malam tadi.

Onn Hafiz bersama pengamal media Johor selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Kelab Media Johor (KMJ) di Hotel Grand Paragon, Johor Bahru malam tadi

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor dan Presiden Kelab Media Johor, Mohamad Fauzi Ishak.

Pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Ke-15 di Kota Iskandar, dekat sini semalam, Marina Ibrahim (PH-Skudai) mencadangkan penubuhan jawatankuasa pilihan khas bagi menjalankan kajian dan cadangan Enakmen Anti-Lompat Parti.

Cadangan itu ditolak secara majoriti melibatkan 37 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) manakala 13 ADUN bersetuju supaya undian dijalankan.

Susulan itu semalam, Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, tiada keperluan sebuah jawatankuasa pilihan khas peringkat negeri untuk menjalankan kajian dan cadangan Enakmen Anti-Lompat Parti ditubuhkan.

Justeru kata Onn Hafiz, pentadbiran beliau dan barisan Exco akan memerangi sebarang fitnah dan tohmahan dibuat pembangakng atau mana-mana pihak yang bertujuan untuk mencalar imej Johor secara keseluruhan.

Menurut beliau yang juga merupakan Penaung KMJ, itu merupakan antara tanggungjawab beliau selaku pemimpin yang diamanahkan.

“Sebagai pemimpin, saya akan melawan fitnah habis-habisan, saya dan pasukan saya. Kita perlu menghayati keamanan yang dikecapi ini dan kalau ada pihak mahu cuba gugat keamanan dan kestabilan yang ada hari ini, kita akan lawan.

“Oleh itu, saya turut meminta kerjasama pihak media untuk tidak melaporkan perkara yang buruk-buruk hanya untuk menjual akhbar kerana saya yakin berita baik dan positif juga boleh dijual,” katanya.

Menurutnya, perkara itu amat penting dalam ketika negara berdepan kemungkinan menghadapi pilihan raya umum kerana dalam tempoh tersebut, pasti banyak fitnah dan tohmahan akan dilontarkan pihak tidak bertanggungjawab. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here