Geng Batam guna tangkal, jampi sebagai pendinding ketika pecah rumah

0
247

POLIS menumpaskan kumpulan penjenayah dikenali Geng Batam yang aktif melakukan kegiatan pecah kereta sekitar daerah Melaka Tengah, sejak awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, empat suspek yang juga warga Indonesia berusia 22 hingga 41 tahun ditahan dalam serbuan berasingan sekitar Senai, Johor, pada 14 September lalu.

“Suspek dikatakan mensasarkan kenderaan yang didalamnya mempunyai barangan berharga dan ditinggalkan sebelum memecahkan cermin kenderaan dengan menggunakan serpihan seramik daripada palam pencucuh.

“Siasatan dijalankan mendapati kumpulan ini bergerak menggunakan kenderaan yang disewa dari Johor dan menuju ke Melaka untuk tujuan pecah kereta,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

Katanya, dengan tertangkapnya semua suspek, polis berjaya menyelesaikan lapan kes jenayah pecah cermin kereta di daerah Melaka Tengah.

Menurutnya, semasa tangkapan ke atas suspek polis merampas pakaian digunakan semasa kejadian, beberapa unit telefon bimbit, lampu suluh dan kenderaan.

Selain itu katanya, polis turut menjumpai barang beserta ayat jampi serapah, tangkal yang dipercayai digunakan setiap suspek sebagai pendinding bagi mengaburi perbuatan jenayah mereka dikesan polis.

Kesemua suspek kini direman sejak 15 September bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, katanya.

Selain itu beliau mengingatkan orang awam agar sentiasa berwaspada serta tidak meninggalkan barangan berharga dalam kenderaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here