Jangan hanya setuju keputusan mahkamah bila orang lain terkena – Bersatu

0
265

BERSATU menghormati setiap keputusan mahkamah, termasuk yang membebaskan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 40 tuduhan menerima rasuah daripada sebuah syarikat berhubung kontrak sistem visa luar negara (VLN).

Memetik laporan Free Malaysia Today, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Razali Idris berkata, Bersatu bukan parti yang akan menentang sebarang keputusan mahkamah jika ia memihak kepada individu yang tidak “sebulu” dengannya.

Beliau turut mengingatkan semua pihak termasuk parti-parti politik, supaya tidak hanya menyokong serta menghormati keputusan mahkamah jika ia memihak kepada pihak yang disokong, dan sebaliknya jika bertentangan dengan kemahuan mereka.

“Elakkan daripada setuju (dengan keputusan mahkamah) apabila terkena pada orang lain dan menyanggah apabila kena batang hidung sendiri.

“Rakyat perlu mengangkat martabat sistem kehakiman dan mahkamah dengan menghormati setiap keputusan,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun, katanya, walaupun Zahid dibebaskan daripada tuduhan dalam kes sistem VLS, kes lain membabitkan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu yang sedang berjalan tidak boleh diganggu.

Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Yazid Mustafa memutuskan pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Presiden UMNO itu.

Zahid, 69, didakwa atas 33 tuduhan menerima rasuah berjumlah SGD13.56 juta (RM42 juta) daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) ketika menjadi menteri dalam negeri, untuk menyambung kontrak firma itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan sistem VLN, serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak bagi pembekalan sistem bersepadu VLN.

Beliau juga didakwa atas tujuh lagi tuduhan memperoleh untuk dirinya SGD1.15 juta; RM3 juta; 15,000 franc Swiss; dan USD15,000 daripada syarikat sama berkaitan dengan tugas rasminya.

Presiden Umno itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Beliau masih berdepan 35 tuduhan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkait pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah membabitkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi dan menerima rasuah untuk pelbagai projek semasa beliau menjadi menteri dalam negeri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here