Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Mahkamah benarkan pendakwa cabar kebolehpercayaan saksi Zahid -

Mahkamah benarkan pendakwa cabar kebolehpercayaan saksi Zahid

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis membenarkan permohonan pendakwaan untuk memulakan prosiding bagi mencabar kebolehpercayaan saksi Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang dikatakan memberikan keterangan bercanggah.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran, memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya berhasrat memulakan prosiding itu terhadap Pengarah Syarikat Pembinaan Teknik Sempurna Sdn Bhd, Jefri Jamil mengikut Sekyen 155 Akta Keterangan 1950.

Difahamkan permohonan itu dibuat pendakwaan kerana keterangan Jefri yang membacakan pernyataan saksinya di mahkamah hari ini, dikatakan bercanggah dengan kenyataan yang diberikan beliau kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun 2018.

Pada ketika itu, Raja Rozela sedang menyoal balas Jefri berkaitan cek yang diterima syarikat Teknik Sempurna berhubung pembinaan masjid dan sekolah agama di Masjid Tanah, Melaka daripada Yayasan Akalbudi yang diasaskan Presiden UMNO itu.

Bagaimanapun permohonan berkenaan dibantah oleh peguam bela Ahmad Zahid, Datuk Hisyam Teh Poh Teik, dengan alasan dokumen kenyataan Jamil kepada SPRM sudah diklasifikasikan sebagai sulit mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) pada 2 Mac 2021.

Menurut Hisyam, pendakwaan tidak boleh memulakan prosiding mencabar kebolehpercayaan saksi itu kerana pihaknya pernah memohon untuk mendapatkan dokumen berkenaan tetapi ditolak mahkamah sebelum ini dengan alasan ia tertakluk di bawah OSA.

Raja Rozela bagaimanapun berkata kedua-dua permohonan berkenaan membabitkan perkara yang berbeza.

Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah, kemudian memutuskan pendakwaan boleh memulakan prosiding itu kerana Seksyen 155 membenarkan pendakwaan untuk mencabar kebolehpercayaan saksi dan ia tidak menyentuh sama ada dokumen berkenaan diklasifikasikan mengikut OSA atau tidak.

Ahmad Zahid membela diri terhadap 47 pertuduhan, iaitu 12 kes pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Bagi pertuduhan pecah amanah Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana itu untuk membuat enam pembayaran bagi penggunaan kad kredit peribadi dan polisi insurans serta lesen kenderaan peribadinya, pemindahan wang kepada firma guaman dan sumbangan kepada Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia.