Ikmal gelisah dan trauma selepas terbabit dalam kemalangan

0
269

PELAKON Ikmal Amry mengalami trauma berpanjangan selepas terbabit dalam kemalangan di Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) arah selatan, awal bulan ini.

Berkongsi perkara itu, Ikmal atau nama sebenarnya, Mohd Zulikmal Amry Ghazali berkata, kemalangan yang berlaku membuatkannya sering diburu ketakutan dan gelisah hingga mengganggu kehidupan seharian.

“Saya akui, kemalangan ini memberi impak dalam kehidupan. Hingga hari ini, saya tidak mampu memandu kereta berikutan sering diburu rasa bimbang kerana memikirkan perkara kurang baik yang akan berlaku.

Saya pernah mencuba, tetapi bila sampai di jalan raya, saya jadi teragak-agak meneruskan perjalanan. Saya jadi ‘over thinking’.

“Tak tahulah sampai bila keadaan ini akan berterusan. Buat sementara waktu, pembantu peribadi akan tolong hantarkan.

“Selain itu, saya juga takut keluar rumah dan berjumpa dengan orang ramai. Keadaan ini membuatkan saya seperti terkena ‘anxiety’,” katanya menurut BH Online.

Pelakon drama Kisah Cinta Kita dan Ex Aku Pontianak itu berkata, isterinya, Najla Shamsul turut mengalami situasi sama selepas tragedi yang berlaku.

“Sampai satu tahap Najla tiba-tiba terjaga dari tidur dan mencari anak, lalu memangkunya. Untuk memulihkan semangatnya, isteri terpaksa pulang ke kampung untuk menghabiskan masa bersama keluarga.

“Bila berjumpa mereka dan menjalankan aktiviti kekeluargaan, barulah semangat Najla kembali pulih seperti biasa,” ujarnya ketika ditemui pada majlis pratonton filem Rasuk, semalam.

Terdahulu, kereta yang dipandu Ikmal hilang kawalan sebelum merempuh sebuah kenderaan hingga menyebabkan keretanya berpusing sebelum terbalik.

Mengulas pengalaman membintangi filem bergenre seram itu, pelakon yang dicungkil bakatnya menerusi pertandingan Hero Remaja 2017 itu berkata, watak Adli memberikan cabaran tersendiri buatnya.

“Antaranya, babak mencekik Alia lakonan Elisya Sandha. Babak ini sukar kerana saya perlu mengawal emosi dan wajah kerana ketika itu keadaan saya separuh manusia dan separuh mayat hidup.

“Keadaan ini juga menyebabkan saya tak berani nak cekik Elisya betul-betul kerana terlalu fokus. Bimbang juga bila terlalu fokus menyebabkan tersalah percaturan, tak bernafas pula Elisya,” ujarnya.

Mengulas tindakannya membuka baju ketika babak mandi dalam sungai seperti dipaparkan dalam naskhah sentuhan James Lee itu, pelakon berusia 28 tahun itu berkata, ia atas kerelaan sendiri.

“Memang saya tawarkan diri buka baju dalam babak ini. Bukan niat nak tayang badan, tetapi lebih kepada tindakan dari sudut logik. Mandi sungai kenalah buka baju,” jelasnya.

Selain Ikmal, filem Rasuk turut dibintangi Taufiq Hanafi, Alicia Amin, Abbas Mahmood, Atiq Azman, Ayie Floor 88 dan Syazwan Razak.

Filem terbitan Multimedia Entertainment, Golden Screen Cinemas, Astro dan Six Fun Media bakal ditayangkan di pawagam mulai 29 September ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here