Gagal lunas tunggakan gaji, Melaka United FC hilang slot Piala Malaysia

0
570

KELAB Bola Sepak Melaka United (Melaka United FC) tidak dibenarkan beraksi dalam Piala Malaysia 2022 susulan kegagalan melunaskan tunggakan gaji pemain dan pegawai.

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dalam satu kenyataan hari ini menyebut Ahli Lembaga Pengarah MFL membuat keputusan itu berikutan kelab berkenaan gagal menyelesaikan bayaran tunggakan gaji seperti tarikh yang ditetapkan.

Menurut MFL, Melaka United telah menerima notis peringatan pada 6 Sept lepas untuk menyelesaikan  segala tunggakan gaji atau mendapat persetujuan bersama pegawai dan pemain yang terlibat sehingga 20 Sept.

Bagaimanapun, kenyataan itu menyebut setakat hari ini (21 Sept) Melaka United hanya mengemukakan  bukti pembayaran sehingga Jun 2022.

“Melaka United gagal mematuhi arahan yang telah dikeluarkan dengan mereka hanya membuat pembayaran baki tunggakan gaji sehingga Jun 2022 di samping mereka juga belum mendapatkan persetujuan bersama pemain dan pegawai bagi bayaran baki tunggakan gaji,” menurut kenyataan yang disiarkan di laman Facebook rasmi MFL hari ini. 

MFL turut mengingatkan kelab itu supaya menyelesaikan baki tunggakan gaji berkenaan bagi mengelakkan mereka tidak diberikan lesen untuk bersaing dalam Liga Malaysia 2023.

Mengenai pasukan gantian bagi slot Melaka United dalam saingan Piala Malaysia, MFL memaklumkan ia akan diumumkan dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, MFL memaklumkan Sarawak United FC telah menjelaskan semua bayaran gaji tertunggak kepada pemain sehingga Ogos lepas.

Katanya, bayaran gaji tertunggak kepada pegawai pasukan pula telah dibayar sehingga Julai 2022, bagaimanapun Sarawak United dan pegawai pasukan telah mencapai persetujuan bersama berkenaan bayaran tunggakan gaji bulan Ogos 2022.

“Walaupun ada usaha ditunjukkan oleh pihak pengurusan Sarawak United untuk menyelesaikan tunggakan gaji ini, MFL tetap memberi peringatan kepada Sarawak United agar isu seumpama ini tidak berulang lagi yang boleh memberi kesan kepada lesen untuk bertanding dalam Liga Malaysia 2023,” menurut kenyataan itu. –Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here