Pelajar tingkatan satu maut kereta dipandu rakan terbabas

0
213

SEORANG pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Durian Tunggal maut, selepas kereta dinaiki bersama rakan, sepupu serta dua kakaknya terbabas di Jalan Padang Keladi, Durian Tunggal dekat Alor Gajah, malam tadi.

Dalam kejadian jam 11.45 malam itu, mangsa V Dayalini, 13, disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Melaka (HM) akibat kecederaan parah pada seluruh anggota badan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu, berkata ketika kejadian lima sekawan itu sedang dalam perjalanan dari arah Pekan Durian Tunggal menghala ke Ayer Keroh.

“Sampai di lokasi kereta Proton Wira dipandu rakan mangsa berusia 17 tahun yang juga mekanik, dikatakan hilang kawalan lalu terbabas ke lorong bertentangan jalan dua hala itu sebelum merempuh tebing tanah sebelah kanan lalu berpusing.

“Siasatan mendapati kemalangan hanya membabitkan sebuah kereta dan terdapat kesan tayar di atas jalan dari arah Pekan Durian Tunggal memasuki ke lorong bertentangan dan kesan perlanggaran di tebing tanah itu,” katanya dalam kenyataan di sini.

Arshad berkata, semua mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut dan mangsa disahkan meninggal dunia akibat kecederaan pada seluruh badan, manakala pemandu hanya cedera pada bahagian kaki.

“Tiga lagi mangsa yang juga pelajar SMK Durian Tunggal iaitu kakaknya berusia 14 dan 16 tahun mengalami sakit di bahagian dada, manakala sepupu perempuan berusia 16 tahun luka pada bahagian kaki dan tangan.

“Bedah siasat mayat akan dijalankan oleh Jabatan Perubatan Forensik HM dan kereta akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer,” katanya.

Sementara itu Arshad berkata, dalam kejadian berasingan seorang remaja maut, manakala rakannya parah selepas motosikal ditunggangi berlanggar dengan lori di Kilometer 210.5 Lebuh Raya Utara Selatan, arah Selatan, jam 1.15 tengah hari semalam.

Beliau berkata, penunggang terbabit, Muhamad Firdaus Sahril, 18, maut di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala manakala pembonceng, Muhammad Muqri Zainudin, 22, dirawat di zon merah Hospital Alor Gajah.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal Yamaha R25 yang dinaiki kedua-dua mangsa berasal dari Port Dickson Negeri Sembilan itu hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang sebelah kiri lori.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kedua-dua kenderaan masih berada di tempat kejadian dan terdapat kesan geseran ditemui di permukaan jalan.

“Penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat, manakala pembonceng dirawat di HM,” katanya.

Beliau berkata, semua kenderaan yang terbabit dalam dua kemalangan itu dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here