Bangunan pencakar langit terbakar

0
467

SEBUAH bangunan pencakar langit terbakar di Bandar Changsa di tengah China semalam. Pihak berkuasa berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Berdasarkan gambar video dari bandar berpenduduk 10 juta orang itu menunjukkan api marak dengan asap tebal dan hitam keluar dari struktur bangunan tersebut.

Menurut rangkaian televisyen China, CCTV, bangunan 42 tingkat itu menempatkan pejabat salah satu syarikat telekomunikasi terbesar negara China, Telecom.

Jabatan bomba wilayah dalam catatan media sosial berkata “pada masa ini, api telah dipadamkan, dan kami belum menemui sebarang kemalangan jiwa”.

Imej yang dikongsi di media sosial menunjukkan bahawa api telah mula padam, ketika kakitangan kecemasan menyembur air ke bahagian hadapan bangunan yang hangus.

“Menjelang jam 4.30 petang hari ini, kebakaran di Menara Komunikasi No. 2 kami di Changsha telah dipadamkan.

“Tiada kemalangan jiwa ditemui dan komunikasi belum terputus,” kata China Telecom dalam satu kenyataan di media sosial.

Kebakaran maut adalah perkara biasa di China, di mana penguatkuasaan longgar berhubung SOP bangunan dan pembinaan tanpa kebenaran yang berleluasa, menyukarkan orang ramai untuk melarikan diri dari bangunan yang terbakar.

Pada Julai tahun lalu, kebakaran gudang di timur laut wilayah Jilin membunuh sekurang-kurangnya 15 orang dan mencederakan sekurang-kurangnya 25, menurut laporan media kerajaan.

Sebulan sebelum itu, kebakaran membunuh 18 orang – kebanyakannya kanak-kanak – di sebuah sekolah seni mempertahankan diri di wilayah Henan, menyebabkan kekecohan mengenai piawaian keselamatan kebakaran.

Dua belas orang lagi maut dalam kebakaran di kawasan kejiranan pendatang Beijing pada 2017, manakala 58 terkorban apabila kebakaran besar di blok perumahan Shanghai 28 tingkat pada 2010. — AGENSI

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here