Peningkatan inflasi bukti pasukan khas tak berkesan – Guan Eng 

0
275

KENAIKAN harga yang melambung tinggi membuktikan pasukan khas anti-inflasi yang dipengerusikan Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa tidak berkesan dalam membendung inflasi, kata Pengerusi DAP Lim Guan Eng.

Bekas menteri kewangan itu bertanya sama ada Annuar boleh menjelaskan mengapa Indeks Harga Pengguna (CPI) meningkat daripada 3.4% pada Jun kepada 4.4% pada Julai, dan inflasi makanan meningkat daripada 6.1% pada Jun kepada 6.9% pada Julai, di sebalik usaha pasukan khas itu mengekang inflasi.

“Jelas bahawa inflasi menjadi lebih serius, secara langsung bercanggah dengan dakwaan perdana menteri dan Annuar bahawa pasukan khas anti-inflasi Kabinet berjaya mengawal kenaikan harga,” katanya dalam kenyataan, memetik laporan FMT.

“Adakah Bank Negara (BNM) akan menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) jika inflasi terkawal?”

Menyifatkan pasukan khas itu sebagai “tidak berkesan, tidak cekap dan tidak relevan”, Lim berkata Annuar tidak dapat menghadapi kenyataan bahawa ia gagal dan harus dibubarkan.

Beliau berkata, alternatifnya adalah Annuar digantikan sebagai pengerusi pasukan khas itu selepas percubaannya untuk mengalih perhatian dengan menyatakan bahawa beliau tidak mempunyai kuasa untuk campur tangan dalam menentukan OPR.

Lim menegaskan, bagaimanapun, beliau tidak pernah meminta Annuar campur tangan untuk tidak menaikkan OPR kerana itu adalah bidang kuasa Bank Negara.

“Annuar benar-benar keliru mengenai sebab dan akibat. Kegagalan beliau untuk membendung kenaikan harga makanan adalah punca inflasi dan kesannya adalah Bank Negara menaikkan OPR untuk mengekang inflasi,” katanya.

Annuar sebelum ini memberitahu Lim, beliau tidak berada dalam kedudukan untuk menilai keberkesanan pasukan khas itu dan menggesa ia dibubarkan berikutan kenaikan terbaharu dalam OPR.

Katanya, sebagai bekas menteri kewangan, Lim sepatutnya tahu bahawa BNM, sebagai pembuat dasar kewangan, membuat keputusan tanpa campur tangan kerajaan.

Beliau juga berkata pasukan khas itu mempunyai peranan lebih khusus, iaitu memberi tumpuan kepada kenaikan harga, menjalankan penyelidikan dan penyiasatan, dan berurusan dengan pekilang, pemborong dan peruncit.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here