Nilai bantuan bina rumah PKRM dinaikkan-Mahdzir

0
241

NILAI bantuan bina baharu Program Perumahan Rakyat Keluarga Malaysia (PRKM) yang sebelum ini dikenali Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dinaikkan daripada RM56,000 kepada RM66,000 seunit bagi Semenanjung Malaysia dan daripada RM68,000 kepada RM79,000 bagi Sabah, Sarawak dan Labuan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid ketika mengumumkan kenaikan itu, berkata bantuan baik pulih pula dinaikkan pada kadar maksimum RM15,000 di Semenanjung manakala bagi Sabah, Sarawak dan Labuan dinaikkan ke kadar maksimum RM17,000.

Sebelum ini kadar baik pulih di Semenanjung adalah RM13,000 dan RM15,000 di Sabah, Sarawak serta Labuan.

“Kenaikan itu akan membantu pihak kontraktor menangani isu peningkatan kos bahan binaan yang menyebabkan mereka gagal menyiapkan projek kerana tiada margin keuntungan kerja yang dilaksanakan.

“Ia juga bagi mengekang kenaikan harga bahan binaan yang perlu ditanggung kontraktor terutama sejak Mei 2022 berdasarkan laporan indeks harga seunit bahan binaan dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia,” katanya kepada media selepas Majlis Perhimpunan Bulan September 2022 kementerian itu di Wisma Felcra di sini hari ini.

Mahdzir berharap dengan menaikkan kadar bantuan itu, kontraktor PRKM boleh meneruskan projek mereka kerana margin keuntungan dijamin mencukupi dengan nilai baharu yang diluluskan itu.

Beliau berkata kenaikan nilai bantuan itu juga membolehkan kira-kira 13,000 unit rumah PRKM dilaksanakan di seluruh negara.

“Ia akan memberi manfaat kepada lebih 70,000 isi rumah di luar bandar yang akan menerima bantuan rumah itu,” katanya.

Terdahulu pada majlis sama, Mahdzir menyampaikan replika kunci rumah PRKM yang siap dibina kepada 10 penerima bantuan perumahan itu.

Turut disampaikan, Anugerah Pelajar Cemerlang SPM Anak Felcra 2021, Anugerah Peningkatan Produktiviti Estet Padi Musim 1/2022 dan Anugerah Khidmat Setia Felcra.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here