Ifa Raziah akur disingkirkan, tidak kisah diketawakan orang

0
210

PENYANYI yang menerima kritikan dan kecaman ekoran nyanyiannya yang dikatakan sumbang baru-baru ini, Ifa Raziah terpaksa akur apabila tersingkir pada minggu keempat program realiti nyanyian, Terpaling Juara.

Menerusi sebuah video yang dimuat naik di Instagram rasmi Terpaling Juara, Ifa berkata dirinya percaya bahawa rezeki masih ada diluar serta menganggap ianya sudah menjadi kebiasaaan dan adat pertandingan.

Katanya, penyingkirannya seolah sudah dapat dijangkakan dan harus diterima dengan hati terbuka.

“Setiap minggu, Ifa akan bersiap sedia untuk tersingkir, rezeki saya hanya setakat minggu keempat sahaja.

“Ini la adatnya ada kalah dan menang, ada yang lebih bagus daripada kita”, jelasnya.

Penyanyi yang berusia 47 tahun itu menyatakan dia percaya bahawa kecaman yang dilontarkan netizen kepadanya tidak akan melunturkan semangat kerana masih ramai yang memberikan sokongan terus bangkit di dalam industri.

“Yang ketawakan aku pun macam itu juga hidup kau. Aku ada produk sendiri dan kaya juga,” ujarnya lagi.

Menerusi tinjauan di ruangan komen media sosial, rata-rata netizen terus melontarkan kecaman selain memerli dengan meluahkan rasa syukur sebaik sahaja mendapat tahu penyanyi tersebut tidak layak ke minggu seterusnya.

“Tengok terpaling juara sebab nak tunggu Ifa Raziah tersingkir je”, luah penguna Instagram, @_eyraaashazal di ruangan komen.

“Alhamdulillah, tersingkir pun tetap berlagak,” ujar @arif_90.

Selain itu, seorang lagi pengguna media sosial, @daniellhzry turut menyifatkan kenyataan Ifa Raziah itu seolah-olah seperti tidak menerima kenyataan.

“Jawapan nak cover malu padahal sebelum ni bukan main dia lah yang paling gah haha”, komennya.—SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here