TINDAKAN menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) bukan langkah efektif menangani kenaikan inflasi.
Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya, Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, menaikkan OPR hanya berkesan menurunkan kadar inflasi jika kadar yang ditetapkan benar-benar tinggi.
“Tetapi kadar OPR (selepas dinaikkan) masih rendah, jadi belum lagi cukup efektif untuk menangani inflasi,” katanya ketika dihubungi SatuBerita pada Selasa.
Beliau diminta mengulas kemungkinan kadar OPR akan dinaikkan lagi iaitu kenaikan kali ketiga tahun ini bagi membendung inflasi.
Semalam, Moody’s Analytics menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.5 peratus minggu ini, kenaikan kadar ketiga berturut-turut dengan tujuan membantu mengurangkan inflasi negara.
Ahmed Razman berkata, menaikkan kadar OPR akan memberi kesan kepada pengguna.
“Untuk mengurangkan inflasi kerajaan perlu memberi subsidi secara pukal dan menetapkan harga kawalan kepada barang perkhidmatan asas seperti tarif elektrik, minyak masak, ayam dan telur,” katanya.
Beliau berpendapat kebarangkalian kenaikan OPR buat kali ketiga tahun ini sangat tinggi.
“Kalau kita lihat pada tahun 2008 apabila berlaku krisis kewangan global, OPR diturunkan tetapi pada 2010, inflasi semakin meningkat maka OPR dinaikkan tiga kali berturut-turut pada Mei, Julai dan September.
“Saya melihat pola kenaikan tiga kali berturut-turut bakal berlaku juga tahun ini,” katanya.
Ketua kumpulan NGO Gerakan Pembela Ummah Mohd Zai Mustafa menjelaskan rakyat akan lebih sesak dengan kenaikan OPR, akibat harga produk atau perkhidmatan yang bakal meningkat.
“Apabila OPR dinaikkan, kos pinjaman perniagaan dari bank akan meningkat. Kesan ini akan ‘merata’, ditanggung oleh semua rakyat.
“Kalau harga dah naik, kalau nak turun (harga) adalah sesuatu yang sangat mustahil. Ini adalah kesan jangka masa panjang,” katanya.
Mohd Zai juga berkata rakyat tiada pilihan selain mengharungi kesan kenaikan OPR ini kerana kebanyakan perniagaan bakal terkesan.
“Sama ada perniagaan seperti pengeluaran, pengimportan, hartanah, pembangunan dan sebagainya kesan ini akan dirasai oleh rakyat.
“Kos ini akan dipindahkan kepada pengguna, meningkatkan perbelanjaan dikeluarkan yang akhirnya menyebabkan kurang tabungan dan tidak mempunyai banyak persediaan atau pilihan untuk menghadapi perkara lain,” jelasnya.
Beliau yang juga mesra dikenali sebagai ‘Cikgu Zai’ itu juga kurang setuju sekiranya kadar OPR dinaikkan kerana rakyat baharu saja mula untuk menstabilkan perniagaan mereka.
“OPR itu tidak sepatutnya dinaikkan, kekal sahaja seperti Julai kerana tidak ada keperluan diperingkat negara dari sudut ekonomi.
“Kenaikan kadar OPR tersebut tidak membantu kadar inflasi iaitu kadar kenaikan harga barang akibat permintaan yang tinggi dan kos operasi tinggi, saya rasa tidak perlu lagi buat masa ini,” katanya. -SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.