KADAR dasar semalaman (OPR) yang dijangka dinaikkan sekali lagi 25 mata asas kepada 2.5 peratus minggu ini, membuatkan rakyat tidak ‘senang duduk’.
Hasil tinjauan SatuBerita di media sosial mendapati, rata-rata rakyat mula merasakan beban dalam pembayaran bulanan pinjaman masing-masing seperti rumah dan kereta.
Kenaikan kadar ketiga berturut-turut itu dikatakan bertujuan membantu mengurangkan inflasi negara, namun warganet tidak bersetuju kerana hasilnya rakyat yang membuat pinjaman semakin sempit, sekali gus lebih menguntungkan bank.
Seorang pengguna media sosial, Hazwan Afifi berkata, tujuan bantu kurangkan inflasi negara itu tidak membantu kurangkan beban mereka yang membayar pinjaman bank.
“Bantu kurangkan inflasi negara, habis tu beban kami nak membayar ni macam mana? Ber huhu je lah jawabnya.
“Loan rumah dari RM800 nak cecah RM1000 dah,” tulisnya di Twitter.
SN Farhanah pula mengeluh jangkaan kenaikan tersebut seolah tidak selidik kesusahan rakyat yang semakin bertambah beban.
“Gaji tak naik tiap bulan tapi OPR ni naik bagai nak gila. Dia tak kaji ke,” soalnya.
Dalam pada itu, Ain Asrar meluahkan rasa penat hadapi kenaikan OPR yang kadar kenaikannya hampir setiap bulan.
“Penatlah nak hadap OPR naik setiap bulan ni. Bank dah untung banyak tak boleh ke untung sikit je,” katanya.
Sementara itu, seorang pengguna Twitter, Endie, mempersoalkan mengapa kenaikan dua kali sebelum ini masih tidak mengurangkan kadar inflasi.
“Sebelum ini dah dua kali naikkan OPR tak dapat juga kurangkan kadar inflasi dan kuatkan ringgit ke?
“Yang teruk kena ialah orang yang banyak pinjaman,” tulisnya.
Bagi Nurfatimah Roslan, kenaikan OPR amat membebankan dirinya sekeluarga yang hanya bergantung pada gaji pokok sahaja.
“Bila ada anak kecil, sangat tak cukup. Tolonglah, kami mahu macam dahulu balik,” luahnya.
Bank Negara Malaysia dijangka menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.5 peratus minggu ini, kenaikan kadar ketiga berturut-turut, bertujuan membantu mengurangkan inflasi negara ditambah dengan pemulihan ekonomi yang teguh, kata Moody’s Analytics.
Moody’s berkata indeks harga pengguna utama Malaysia meningkat sebanyak 4.4 peratus tahun ke tahun pada Julai, peningkatan mata peratusan penuh daripada bulan sebelumnya. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.