31 Oktober pengurusan kes rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Samirah,dua remaja

0
258

MAHKAMAH Rayuan telah menetapkan 31 Okt ini untuk pengurusan kes bagi rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Samirah Muzaffar dan dua remaja dalam kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Nazrin Hassan.

Peguam Rahmat Mohamed Hazlan, ketika dihubungi, mengesahkan bahawa mahkamah telah menetapkan tarikh itu sebagai pengurusan kes selanjutnya kerana rekod rayuan belum siap.

Rayuan itu ditetapkan untuk pengurusan kes hari ini di hadapan Timbalan Pendaftar Tan Chai Wei.

Pada 21 Jun lepas, Mahkamah Tinggi Shah Alam telah membebaskan Samirah, 47, yang juga balu Nazrin, serta dua remaja berumur 19 dan 16 tahun selepas memutuskan bahawa pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Samirah dan kedua-dua remaja serta seorang wanita warga Indonesia Eka Wahyu Lestari, yang masih bebas, telah didakwa membunuh Nazrin, 45, di rumahnya di Mutiara Damansara di antara 11.30 malam pada 13 Jun 2018 dan 4 pagi keesokan harinya.

Pada 23 Jun lepas, Jabatan Peguam Negara memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan Samirah dan kedua-dua remaja daripada pertuduhan membunuh Nazrin.

Pada 30 Jun lepas pula, Samirah dan kedua-dua remaja turut memfailkan rayuan bagi mencabar penemuan fakta tertentu oleh Mahkamah Tinggi termasuk kebakaran yang berlaku di bilik Nazrin “dilakukan dengan sengaja.”

Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman, dalam penghakiman lisannya, berkata mahkamah menerima keterangan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Edwin Galan Teruki serta pegawai penyiasat kes Halim Zulkefeli yang merumuskan bahawa kebakaran itu telah dilakukan dengan sengaja.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here