Pemain bola Sri Pahang, Lee Tuck kini warganegara Malaysia

0
595

Pemain tengah Sri Pahang FC Lee Tuck kini sah mendapat taraf warganegara Malaysia selepas melengkapkan proses naturalisasi. 
 

Perkembangan itu diumumkan oleh pemain berusia 34 tahun itu menerusi hantaran dalam Instagram beliau malam tadi. 
 

“Hari ini (semalam) akhirnya dan secara rasminya saya boleh katakan saya warganegara Malaysia. 
 
“Saya sangat bersyukur mendapat kewarganegaraan Malaysia. Proses ini perjalanan yang sukar dengan membuat pengorbanan untuk sampai ke sini tetapi ia peluang yang tidak dapat saya lepaskan,” tulisnya. 

 
Pemain kelahiran Huddersfield, England itu melahirkan penghargaannya kepada pemimpin tertinggi Sri Pahang terutama pemilik kelab bola sepak itu Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah kerana menyokong beliau sepanjang proses naturalisasi berjalan. 

 
“Saya juga ingin berterima kasih kepada keluarga tercinta dan kawan rapat,” katanya. 
 

Tuck telah bermain dalam Liga Malaysia (Liga-M) sejak 2017 apabila menyertai pasukan Negeri Sembilan sebelum berhijrah ke Terengganu FC pada 2018 dan bersama Sri Pahang pada musim lepas. 

 
Sri Pahang sebelum ini dilaporkan cuba untuk menjadikan Tuck dan pemain kelahiran Argentina, Sergio Aguero sebagai pemain naturalisasi, bagaimanapun status Aguero yang bermain dalam Liga-M sejak 2017, masih belum dapat disahkan lagi.  

Untuk rekod, Malaysia sebelum ini sudah mempunyai tiga pemain naturalisasi iaitu Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi dan Guilherme De Paula yang pernah menyarung jersi Harimau Malaya. -BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here