Merusuh di tengah malam, polis Temerloh tahan 7 suspek

0
352

POLIS Temerloh berjaya menahan tujuh lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian pergaduhan di tepi jalan di Mentakab, Pahang, pada awal pagi 31 Ogos.

Suspek berusia antara 19 dan 35 tahun, ditahan sekitar bandar Mentakab, susulan pergaduhan yang dipercayai berlaku antara jam 12.05 tengah malam dan 12.20 tengah malam semalam.

Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Mohd Azhar Mohd Yusoff berkata, pihak polis mengesan suspek selepas rakaman video berdurasi lapan saat tersebar melalui media sosial.

“Di dalam tayangan video itu, menunjukkan beberapa orang lelaki sedang bergaduh berhampiran tepi jalan di bandar Mentakab.

“Sehingga hari ini, pihak polis tidak menerima sebarang aduan atau laporan berkaitan kejadian tersebut,” katanya, lapor Astro AWANI.

Menurut Mohd Azhar, polis membuat laporan maklumat pertama untuk memulakan siasatan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan, iaitu merusuh di tempat awam, dan di bawah Seksyen 160 kanun sama, kerana melakukan gaduh gempur.

“Saya memohon bantuan orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut tampil memberi maklumat untuk membantu siasatan.

“Mereka yang menyaksikan kejadian itu boleh salurkan maklumat kepada pegawai penyiasat ASP Irmawathy Mohamad Yusof di talian 012-2822874 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here