[VIDEO] Muhyiddin saran gubal Akta Pendanaan Politik

0
385

AKTA Pendanaan Politik wajar digubal bagi mewujudkan budaya politik bebas rasuah dan berintegriti.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, satu jawatankuasa akan ditubuhkan bagi mengkaji cadangan itu dengan lebih terperinci sebelum dikemukakan kepada kerajaan.

 “Transformasi budaya politik yang bebas rasuah mesti bermula dari diri kita sendiri dan di dalam parti kita sendiri. Jika dilihat dari sudut yang positif, PN adalah sebuah gabungan parti politik yang baharu.

“Kita berpeluang untuk memupuk dan membina budaya politik baharu yang berlandaskan kepatuhan kepada nilai-nilai agama, moral dan etika untuk mewujudkan sebuah budaya politik yang sihat, bebas rasuah dan berintegriti.

“Amalan “ambil apa yang sempat” atau “rembat apa yang dapat” atau “sakau-menyakau” tidak boleh menjadi budaya dalam PN. Ini budaya yang salah dari segi hukum agama, undang-undang, moral dan etika masyarakat.

“Amalan ini jika dibiarkan membarah boleh menjadi punca kejatuhan bukan sahaja parti politik, tetapi masyarakat, negara dan tamadun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Perikatan Nasional di Serdang hari ini.

Menurutnya, beliau mahu transformasi politik yang bebas rasuah dan berintegriti itu menjadi agenda utama PN yang boleh dibahas dengan lebih lanjut di dalam konvensyen ini dan dikemukakan syor-syor untuk diteliti oleh Majlis Tertinggi PN dan diambil tindakan susulan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here