PRIHATIN rakyat, berintegriti serta bebas rasuah menjadi landasan utama parti Perikatan Nasional (PN) dalam mentadbir negara.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, membangun ekonomi berimpak tinggi untuk meningkatkan pendapatan rakyat seterusnya menjadikan Malaysia sebagai negara maju, makmur dan sejahtera juga antara prinsip yang akan diperjuangkan PN.
“Paling utama adalah kita akan memastikan calon PN bersih, berintegriti dan bebas rasuah dengan mewajibkan mereka melepasi tapisan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta mengisytihar harta dan tiada kes mahkamah seterusnya membuat aku janji untuk menolak jenayah rasuah dan salah guna kuasa.
“Menghormati Perlembagaan Persekutuan sebagai bimbingan Kerajaan dalam menjunjung kemuliaan institusi Raja- Raja Melayu, kebebasan badan kehakiman dan kedaulatan undang-undang.
“Memperkukuh hubungan persaudaraan antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak dengan terus menghormati Perjanjian Malaysia 1963 serta menyeimbangkan pembangunan negara secara holistik dan menyeluruh dengan mengoptimumkan potensi ekonomi dan sosial setiap negeri di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak antara intipati PN,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan Konvensyen PN di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang pada Sabtu.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.