Suami isteri ditahan kemuka tuntutan palsu hampir RM90,000

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan sepasang suami isteri bagi membantu siasatan kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu berjumlah hampir RM90,000 kepada sebuah jabatan, empat tahun lalu.

Menurut sumber, kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 38 dan 39 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Johor, Johor Bahru kira-kira pada pukul 11.30 pagi tadi selepas hadir memberikan keterangan.

Difahamkan, pada 2019 dan 2020, suspek wanita yang juga merupakan pegawai daripada jabatan sama telah bersubahat dengan suaminya.

Perbuatan itu untuk membuat tuntutan berkaitan perkhidmatan mengambil dan menghantar pelajar sekolah menggunakan invois daripada sebuah syarikat pengusaha van sedangkan perkhidmatan tersebut tidak dilaksanakan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan kedua-dua penahanan terbabit dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Suspek kemudiannya dilepaskan dengan jaminan SPRM. – SB