Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar melahirkan rasa simpati dan memahami kesukaran dihadapi ibu mempunyai anak dilahirkan di luar negara yang tidak mendapat taraf kerakyatan.
Menurut Wan Junaidi, beliau pernah menyaksikan sendiri bagaimana isu berkenaan menjejaskan kehidupan golongan itu, malah beliau tidak dapat menerima dugaan ditanggung mereka.
“Saya ingin memberitahu kepada ibu yang bertemu saya. Tolonglah, cukup. Bukan hanya kamu yang menangis, saya pun turut menangis,” katanya pada Simposium Keluarga Malaysia semalam.
Beliau berkata, terdapat banyak proses untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan anak-anak kepada wanita Malaysia dilahirkan di luar negara boleh diberikan kerakyatan secara automatik.
Katanya, pindaan itu masih dalam peringkat kajian.
“Kita perlu meneliti jenis pindaan diperlukan. Ia tidak semudah yang didakwa ramai, hanya meminda satu perkataan (bapa),” lapor FMT.
Wan Junaidi mengulangi pendirian bahawa Putrajaya mesti menunggu sehingga Mahkamah Persekutuan memutuskan rayuan difailkan oleh ibu yang terjejas di mana saman untuk mendapatkan kewarganegaraan bagi anak mereka ditolak oleh Mahkamah Rayuan.
Mahkamah Tinggi sebelum ini memutuskan bahawa anak yang dilahirkan di luar negara kepada wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing berhak menjadi warganegara Malaysia mengikut kuatkuasa undang-undang.
Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 5 Ogos memutuskan bahawa peruntukan perlembagaan hanya merujuk kepada bapa kandung. Terpulang kepada Parlimen, bukan mahkamah, untuk menulis semula perlembagaan, kata hakim.
Terdahulu, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun berkata masalah kewarganegaraan itu boleh diselesaikan dengan meminda Perlembagaan Persekutuan.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.